
Beliau berkata, satu lokasi akan dikenal pasti di Pahang bagi membina kompleks berkenaan yang bakal mengadakan kelas tenunan kepada banduan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi meningkatkan kemahiran vokasional mereka.
Beliau berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha menubuhkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Dalam Negeri dalam melahirkan banduan berkemahiran vokasional.
“Bengkel di setiap penjara yang berkait dengan Tenun Pahang Diraja, songket dan batik juga akan ditambah baik,” katanya.
Menurut Zulkifli, selain menambah baik infrastruktur dan membaik pulih bengkel serta mesin, pihaknya juga akan memperkasakan persijilan banduan dalam bidang songket dan daster (tenun Pahang Diraja) serta batik bagi mengekalkan warisan fabrik tradisional itu.
Dalam pada itu, Zulkifli menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih ke atas kesudian Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Iskandariah menerima lantikan sebagai penaung diraja produk My Pride keluaran Jabatan Penjara.
“Diharap banduan dapat menggunakan peluang ini untuk membuktikan mereka mampu bangkit semula untuk menyumbang jasa bakti kepada negara,” katanya.
Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Jumaat, memperuntukkan RM20 juta kepada Jabatan Penjara bagi melaksanakan PPI untuk banduan.