
Seorang bekas pesakit mengambil inisiatif mewujudkan kumpulan pengikut laman Facebook dikenali sebagai “Covid-19 Survivor Sabah” Oktober lepas sebagai saluran perkongsian pengalaman pesakit yang telah sembuh dan kembali ke dalam komuniti, namun tidak semua dapat menerima kehadiran mereka.
Berkongsi pengalamannya sendiri, Hartini Azmi, 37, yang berasal dari Kampung Maasak, Keningau berkata, beliau pernah terpaksa menunggu lama di sebuah salon, namun tiada yang berani mendekatinya kerana bimbang membawa virus Covid-19.
“Lama saya duduk menunggu untuk dicuci rambut, tapi tiada yang mahu cuci. Rupa-rupanya, mereka takut saya mungkin membawa virus (COVID-19),” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, sejak laman itu wujud, mesej yang cuba disampaikan kepada orang ramai dibaca dan difahami, sekali gus pesakit dan keluarga pesakit Covid19 mula menerima sokongan moral daripada masyarakat.
Selain Facebook, Hartini juga mewujudkan kumpulan WhatsApp sebagai saluran untuk memberi semangat kepada pesakit, selain berkongsi tips keselamatan semasa berada di pusat kuarantin bagi membantu petugas barisan hadapan.
Pengalaman sama juga turut dirasai Ella Hipin, 36, selepas beberapa ahli keluarganya disahkan positif Covid-19 dan dilihat seolah-olah seperti “malaikat maut”.
Dalam situasi itu, tekanan sekeliling adalah lebih kuat berbanding menjadi pesakit, meskipun hanya berada pada tahap ke-2.
“Paling sedih apabila memesan barangan basah seperti sayuran yang diiklankan dalam kumpulan WhatsApp, setelah mengetahui pesanan itu dari rumah kami, tiba-tiba sahaja barangan yang dipesan itu habis dijual walaupun baru saja diiklankan,” katanya.
Berasal dari Kampung Bariawa Ulu, Keningau, Ella berkata, ahli keluarganya yang berada di bawah kategori individu dalam siasatan (PUI) juga tidak terkecuali menerima kecaman daripada masyarakat.
Kisah sama turut dirasai Flavia Pius, 38, dari Tambunan apabila video menaiki ambulans selepas disahkan positif tular di media sosial, sekali gus menjejaskan emosinya untuk menghadapi keadaan sukar itu.
Flavia berkata pada masa itu, beliau berasa amat tertekan apatah lagi apabila mengetahui penghantar barang ke rumah juga takut untuk mendekati walaupun hanya kereta miliknya.
“Namun, penerimaan masyarakat sudah berubah, mungkin disebabkan ada kesedaran kerana maklumat mengenai Covid-19 kini banyak dipaparkan dalam media,” katanya.