Pulau Pinang puji skim perumahan sewa untuk beli dalam Belanjawan 2021

Pulau Pinang puji skim perumahan sewa untuk beli dalam Belanjawan 2021

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, skim RTO melibatkan 5,000 unit rumah PR1MA bernilai lebih RM1 bilion untuk pembeli rumah kali pertama.

Exco Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata, konsep RTO diperkenalkan di negeri itu sejak 2014 bagi membantu pembeli membeli unit rumah kos rendah atau kos sederhana rendah dengan kadar faedah sifar untuk tempoh antara 10 dan 20 tahun.
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang hari ini menzahirkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan kerana memperkenalkan skim perumahan sewa untuk dimiliki (RTO) semasa pembentangan Belanjawan 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata, beliau gembira kerana kerajaan persekutuan mengikut jejak negeri itu dalam memperkenalkan skim RTO bagi membolehkan lebih ramai orang memiliki rumah pertama mereka.

Beliau berkata, konsep RTO diperkenalkan di Pulau Pinang sejak 2014 bagi membantu pembeli membeli unit rumah kos rendah (LC) atau kos sederhana rendah (LMC) dengan kadar faedah sifar untuk tempoh antara 10 dan 20 tahun.

“Sehingga kini, kami mengenal pasti 2,474 unit perumahan RTO di seluruh Pulau Pinang, iaitu hampir separuh daripada jumlah unit perumahan RTO yang dicadangkan semasa pembentangan Belanjawan 2021,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam, mengumumkan kerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk menyediakan unit perumahan RTO sehingga 2022, melibatkan 5,000 unit perumahan PR1MA di seluruh negara bernilai lebih RM1 bilion dan dikhaskan untuk pembeli rumah kali pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.