Had 80 ahli Parlimen di Dewan Rakyat ancaman pada demokrasi, kata peguam

Had 80 ahli Parlimen di Dewan Rakyat ancaman pada demokrasi, kata peguam

Andrew Khoo mempersoalkan pengehadan masa untuk ahli Parlimen bertanya soalan, yang menurutnya akan melemahkan sistem semak dan imbang serta menjejaskan sistem demokrasi.

Peguam Andrew Khoo berkata, walaupun semangat mengehadkan 80 ahli Parlimen untuk mengekang penularan Covid-19 adalah tepat, hak baki 142 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan tidak patut dirampas daripada mereka.
PETALING JAYA:
Seorang peguam berkata, tindakan mengehadkan 80 ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat pada satu-satu masa mulai minggu depan adalah ancaman kepada demokrasi kerana tiada kaedah lain untuk ahli Parlimen lain mengambil bahagian dalam perbahasan.

Andrew Khoo berkata, walaupun semangat mengehadkan 80 ahli Parlimen untuk mengekang penularan Covid-19 adalah tepat, hak baki 142 ahli Parlimen untuk mengambil bahagian dalam perbahasan tidak patut dirampas daripada mereka.

“Anda menafikan hak mereka sebagai ahli Parlimen dan kewajipan mereka menghadiri sidang Parlimen serta menjalankan tugas mereka untuk mewakili rakyat yang memilih mereka,” katanya kepada FMT.

Pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam itu berkata, Parlimen UK mengambil langkah proaktif mengadakan prosiding dalam talian dan hanya 50 ahli Parlimen ke Parlimen, manakala 120 lagi dibenarkan menghadiri persidangan itu dalam talian.

“Banyak Parlimen lain di seluruh dunia menyelaras peraturan mereka sebagai respons kepada pandemik tanpa berkompromi peranan mana-mana ahli Parlimen dan tanggungjawab untuk mewakili pengundi sepenuhnya.

“Jadi, ia tidak patut mengecualikan ahli Parlimen daripada melaksanakan tugas mereka, berbahas dan mengundi secara fizikal atau maya.

“Kita melaksanakan sekatan pergerakan Covid-19 pada 18 Mac, Ia tidak dapat diterima lebih 7 bulan kemudian, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak dapat diubah suai untuk membenarkan persidangan secara maya. Apa yang Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat buat selama ini?” soalnya.

Khoo juga mempersoalkan pengehadan masa untuk ahli Parlimen bertanya soalan, yang menurutnya akan melemahkan sistem semak dan imbang serta menjejaskan sistem demokrasi.

Beliau berharap pengagihan ahli Parlimen untuk hadir di Parlimen secara fizikal adalah seimbang antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Peguam Lim Wei Jiet bersetuju sidang Parlimen dalam talian adalah pilihan terbaik dan speaker boleh merealisasikannya dengan menggantung peraturan yang memerlukan semua ahli Parlimen untuk duduk di tempat mereka di bawah Peraturan Mesyuarat 90.

Beliau berkata, speaker kemudiannya boleh tampil dengan garis panduan untuk mengadakan persidangan secara maya.

Katanya, Parlimen Maldives menjadi tumpuan laporan media atas kejayaannya mengadakan prosiding dalam talian.

“Malah, Parlimen kita boleh bermula dengan prosiding hibrid terlebih dahulu, seperti yang dilakukan di UK baru-baru ini. Sesetengah ahli Parlimen menghadiri prosiding secara fizikal, manakala yang lain secara maya. Terdapat pelbagai pilihan untuk memudahkan peralihan kepada Parlimen maya sepenuhnya secara lancar,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu, Dewan Rakyat mengumumkan ia membenarkan kehadiran 41 ahli Parlimen kerajaan dan 39 ahli Parlimen pembangkang dan bebas.

Bagaimanapun, semua 222 ahli Parlimen dibenarkan ke Dewan Rakyat untuk mengundi.

Ini diputuskan selepas 7 kakitangan Parlimen disahkan positif Covid-19.

Langkah lain termasuk memendekkan prosiding dari 10 pagi hingga 2 petang setiap hari, dengan Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) dan perbahasan mengenai rang undang-undang dipendekkan.

MQT dipendekkan kepada 5 minit dengan menteri akan menjawab secara bertulis pada hari sama dan dimuat naik ke laman web Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.