
Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah-Seri Serdang) berkata, kurangnya kerjasama dalam perkongsian data mentah dengan kerajaan Selangor akan menghalang usaha membantu negara memerangi gelombang ke-3 wabak itu.
Sebelum ini dilaporkan, Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) tidak lagi menerima data terperinci daripada kerajaan persekutuan.
Siti berkata, beliau memahami kebimbangan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengenai privasi pesakit kerana data mentah mempunyai nama dan nombor kad pengenalan mereka.
“Ada banyak elemen dalam data mentah. Kami tidak minta nama dan nombor kad pengenalan. Kami tidak minta maklumat peribadi mereka (pesakit).
“Kami minta lokasi dan di mana mereka mungkin dijangkiti. Kemudian mungkin dengan menggunakan ‘artificial intelligence’ kami dapat mengetahui dari mana kemungkinan jangkitan itu bermula,” katanya.
Katanya, ia antara cadangan untuk menghalang penularan wabak yang lebih meluas.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei yang bertanya adakah Kementerian Kesihatan memberi maklum balas mengenai permintaan kerajaan negeri untuk mendapatkan data mentah.
“Kami diminta membantu kerajaan membendung penularan Covid-19 tetapi kami berada dalam keadaan ‘buta’.
“Apa yang kami (hanya) tahu adalah maklumat dibentangkan ketua pengarah kesihatan dalam sidang medianya, (maklumat daripada) laman Facebook jabatan kesihatan Selangor dan laman webnya.
“Maklumat (yang kami dapat) adalah secara rawak daripada sesetengah pihak. Kadang kala ia seperti permainan teka-teki dan ia agak sedih keadaan sebegini berlaku,” katanya dalam sidang DUN hari ini.
Beliau berkata, tidak adil membandingkan jumlah pesakit Covid-19 di Selangor tanpa mengambil kira penduduknya yang besar dan padat.
Katanya, kekurangan data tepat boleh menyebabkan masyarakat panik.
Sehingga kini Selangor mencatatkan jumlah kes harian ke-2 tertinggi selepas Sabah.
Sebanyak 124 kes Covid-19 baharu dilaporkan di negeri ini semalam.