Speaker berang Adun BN, PAS berbaju Melayu di DUN Selangor

Speaker berang Adun BN, PAS berbaju Melayu di DUN Selangor

Ng Suee Lim berkata, 3 Adun pembangkang perlu memakai sut ke sidang DUN dan pengecualian hanya pada Jumaat.

Tiga Adun pembangkang berkata, tiada peraturan melarang mereka berpakaian tradisional dalam DUN Selangor.
SHAH ALAM:
Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim berang dengan 3 Adun pembangkang berbaju Melayu ke sidang itu hari ini.

Beliau menggesa semua Adun “berpakaian sewajarnya” mengikut peraturan DUN, selepas Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong), Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) dan Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) berbaju Melayu serta bersongkok.

“Tolong patuhi peraturan mesyuarat. Saya hanya memberi nasihat kepada beberapa orang daripada anda hari ini,” katanya sambil menambah lelaki patut memakai sut ke DUN.

“Kelonggaran diberikan kepada Adun untuk memakai baju Melayu mereka apabila sidang diadakan pada Jumaat.”

Bagaimanapun, Shamsudin membantah dengan mempersoalkan Lim mengenai kewujudan sebarang peraturan dalam peraturan mesyuarat mengenai kod pakaian, khasnya yang melarang mereka daripada berpakaian tradisional.

“Saya rasa kami mematuhi peraturan. Juga, orang ramai akan gembira jika memakai baju Melayu.”

Yunus berkata, peraturan mesyuarat tidak menyentuh kod pakaian.

Ng mempertahankan pendiriannya dengan berkata, beliau diberikan kuasa untuk membuat keputusan berhubung kod pakaian lelaki di bawah Peraturan Mesyuarat 87(7) dan beliau sudah mengeluarkan surat jemputan berhubung sidang DUN, di mana kod pakaian untuk lelaki serta wanita dinyatakan dengan jelas.

Bagaimanapun, Imran berkata, surat jemputan itu tidak boleh dianggap sebahagian daripada peraturan mesyuarat.

“Saya faham akan ada pindaan kepada peraturan mesyuarat mengenai kod pakaian, tetapi hingga hari ini tiada usul untuknya.

“Selagi tiada peraturan menentang pemakaian baju Melayu, sesiapa pun mempunyai hak memakainya.”

Ng membalas dengan berkata, beliau tidak mahu memanjangkan isu kod pakaian itu.

“Saya mahu lihat anda semua memakai sut esok.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.