Lebih 6,000 cadangan diterima daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021, kata Tengku Zafrul

Lebih 6,000 cadangan diterima daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021, kata Tengku Zafrul

Menteri kewangan berkata, ini termasuk lebih 170 cadangan yang diterima susulan perjumpaan dengan ahli politik.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul aziz berkata, umumnya cadangan yang diterima tertumpu kepada sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk mengatasi kesan Covid-19 menjelang tahun 2021.
KUALA LUMPUR:
Lebih 6,600 cadangan diterima daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021 bersama parti politik dan juga melalui lawan sesawang Belanjawan 2021 sehingga 2 November, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, ini termasuk lebih 170 cadangan yang diterima susulan perjumpaan bersama ahli politik.

“Secara amnya, cadangan tertumpu kepada sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk mengatasi kesan-kesan Covid-19 menjelang tahun 2021.

“Antara sektor dengan cadangan tertinggi, termasuklah kesihatan, sokongan pekerjaan, pendidikan dan industri PKS.

“Kementerian sedang memperhalusi kesemua cadangan untuk disertakan dalam Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan pada Jumaat, 6 November ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zafrul berkata, sesi konsultasi bersama parti politik adalah kesinambungan kepada usaha penyediaan Belanjawan 2021 yang inklusif dan komprehensif.

Katanya sejak Julai, lebih 40 sesi konsultasi diadakan melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan.

“Ini termasuk sesi turun padang ke setiap negeri buat kali pertamanya dalam sejarah kementerian untuk mendekati rakyat dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, konsultasi Belanjawan 2021 bersama wakil parti politik negara melibatkan Umno, GPS, PAS, MCA, Warisan dan Pakatan Harapan (PH), yang terdiri daripada PKR,DAP dan Amanah.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan, iaitu rakyat, perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan serta sektor awam dan swasta, yang terlibat dalam proses konsultasi ini,” katanya.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 merupakan fasa ke-5 dalam strategi 6 fasa atau Strategi 6R, iaitu rancangan pemulihan ekonomi kerajaan yang digerakkan sejak Mac lepas.

Katanya, fasa sebelum ini merangkumi pelan rangsangan ekonomi Prihatin, Prihatin PKS+, Penjata dan Kita Prihatin berjumlah RM305 bilion.

“Belanjawan 2021 adalah kesinambungan pencapaian pakej tersebut dan mempunyai 3 matlamat utama, iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.