
Aktivis alam sekitar turut memberitahu FMT, kawasan tadahan air dan hutan yang berharga mesti dilindungi daripada aktiviti pembalakan.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata, sumber mesti disalurkan kepada unit jenayah alam sekitar bagi memastikan mereka dilengkapi dengan baik dan terlatih.
Penubuhan unit itu dicadangkan kerajaan baru-baru ini melalui pembabitan anggota polis dan tentera bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mencegah jenayah alam sekitar seperti pencemaran dan pencerobohan hutan.
“Sebagai contoh perbuatan mencemarkan sumber air boleh dilihat sebagai cubaan membunuh oleh unit itu. Mereka mesti terlatih untuk mengenal pasti apakah tindakan boleh dianggap sebagai jenayah terhadap alam sekitar dan mengembangkan kemahiran baharu mengesan jenayah terhadap alam sekitar.
“Peruntukan memasang CCTV di sungai dan hutan sensitif juga amat diperlukan,” kata Meenakshi kepada FMT.
Beliau berkata, inisiatif harus diperuntukkan untuk persediaan kepada lebih banyak bencana alam bakal melanda negara disebabkan perubahan iklim.
“Kita mahu hutan kita dilindungi kerana tanpanya kita tidak akan mendapat sumber air. Terdapat keperluan memberi lebih banyak insentif kepada negeri untuk melindungi hutan daripada aktiviti pembalakan,” katanya.
Meenakshi menyatakan Singapura memperuntukkan S$100 bilion dalam usaha menangani perubahan iklim dan berkata, Malaysia juga harus menyediakan peruntukan lebih banyak untuk melindungi alam sekitar.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Shariffa Sabrina Syed Akil, bersetuju dengan cadangan Meenakshi mengenai pemerkasaan unit jenayah itu.
“Penguatkuasaan di kawasan sensitif mesti dimodenkan, terutama di hutan simpan yang mana aktiviti pembalakan haram dilakukan secara besar-besaran,” katanya.
Andrew Sebastian berkata, Putrajaya harus memperuntukkan dana kepada negeri untuk menyelamatkan hutannya daripada aktiviti pembalakan.
Beliau berkata, lebih banyak dana perlu disalurkan kepada jabatan seperti pengairan dan saliran, perhutanan, hidupan liar dan taman bagi memperkasakan tujuan itu.
“Kerajaan persekutuan juga harus mempertimbang membeli koridor hidupan liar yang strategik untuk mengekalkan kumpulan gen dan populasi mamalia besar serta hidupan liar yang lain,” kata ketua pegawai eksekutif Ecotourism and Conservation Society Malaysia (Ecomy) itu.
Sementara itu, Anthony Tan dari Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (Cetdem) berkata, kerajaan perlu memperuntukkan geran kepada NGO dan masyarakat sivil supaya bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk menangani masalah dan memperbaiki program kerajaan sedia ada.