Unicef seru guna Belanjawan sebagai bantuan kewangan kepada kanak-kanak, warga emas

Unicef seru guna Belanjawan sebagai bantuan kewangan kepada kanak-kanak, warga emas

Agensi PBB itu turut menyeru penambahbaikan dalam perkhidmatan bagi mencegah keganasan berasaskan jantina dan penderaan kanak-kanak.

Unicef berkata komuniti miskin sedang bergelut dengan masalah kewangan dan mental kesan pandemik Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Berdasarkan dapatan kajian terbarunya, Unicef menyeru kerajaan memasukkan inisiatif keselamatan sosial yang diperluas dan ditambah baik dalam cadangan Belanjawan akan datang.

Laporan terbaru bertajuk “Keluarga di Pinggiran”, membabitkan tinjauan ke atas hampir 3,000 penduduk rumah pangsa kos rendah, mendapati masih banyak yang bergelut dengan masalah kewangan dan mental akibat pandemik Covid-19, walaupun terdapat tanda pemulihan secara beransur-ansur.

Dalam memenuhi cabaran ekonomi dihadapi keluarga miskin, Unicef mencadangkan peluasan skim bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merangkumi semua kanak-kanak, warga emas dan mereka yang kurang upaya, kerana golongan itu berisiko lebih tinggi untuk jatuh ke dalam kancah kemiskinan.

Pertubuhan itu turut menyeru supaya langkah dibuat untuk meningkatkan upah mereka yang berpendapatan rendah dan tindakan diambil bagi meningkatkan akses ke program perlindungan pekerjaan seperti Perkeso, sebagai perlindungan kepada golongan bekerja sendiri dan memastikan lebih banyak orang berdaftar.

Katanya, fokus utama perlu diberikan kepada ibu tunggal yang sangat memerlukan kemudahan penjagaan anak yang berkualiti tinggi dan peluang pekerjaan.

Laporan itu turut mendapati peratusan kanak-kanak di usia persekolahan yang tidak bersekolah semakin meningkat dan mencadangkan makanan berkualiti disediakan bagi meringankan beban ibu bapa, pelaksanaan inisiatif meminimumkan kadar keciciran sekolah dan ia melibatkan hubungan antara perkhidmatan kesihatan mental serta sekolah diperkukuhkan.

Unicef juga menyeru peningkatan perkhidmatan dilaksanakan untuk mencegah dan menangani kes keganasan berasaskan jantina dan penderaan kanak-kanak, dan mengatakan program sokongan kekeluargaan mesti ditawarkan kepada kelompok yang terdedah.

Ia menyebut Rancangan Malaysia ke-12 dan Belanjawan 2021 yang akan datang sebagai peluang amat penting untuk menyusun semula kerangka dasar sosial yang lebih berkesan untuk Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.