
Mereka antara lain mencadangkan perkhidmatan kaunseling percuma dan dasar melindungi pemberi maklumat untuk doktor muda menyuarakan masalah tanpa takut kepada kesannya.
Gesaan mereka menyusul satu laporan mendakwa berlaku “penganiayaan” ke atas doktor pelatih di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
PPUM dilaporkan berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan itu.

Dr Timothy Cheng dari Jabatan Pembedahan Ortopedik PPUM berkata, dakwaan buli itu dan keadaan kerja yang sukar bukan unik bagi hospital.
Beliau mendakwa ramai doktor pelatih di institusi kerajaan lain pernah membangkitkan isu sama.
Katanya, doktor lebih tua mungkin menolak aduan doktor muda sebagai semberono kerana mereka mengalami lebih banyak tekanan ketika menjadi doktor pelatih.
“Memang benar latihan jauh lebih sukar ketika itu. Nisbah doktor dan pesakit lebih rendah serta kekurangan teknologi komputer ketika itu. Jadi, pegawai perubatan terpaksa bekerja lebih keras dan lebih banyak berkejar ke sana sini.
“Sekarang ada lebih banyak kesedaran mengenai masalah kesihatan mental. Jadi, generasi muda mungkin dilihat berhak menyuarakan masalah mereka. Sepuluh tahun lalu, tiada yang berani bersuara.”
Beliau berkata, ada banyak tekanan bekerja di Jabatan O&G kerana nyawa bayi baru lahir terletak di tangan kakitangan perubatan, yang bermakna doktor lebih tegas.
Cheng menggesa hospital melaksanakan dasar melindungi pemberi maklumat supaya doktor pelatih dan doktor dapat menyuarakan kebimbangan mereka secara terbuka tanpa rasa takut.
Beliau turut menggesa doktor pelatih yang bergelut menyelesaikan latihan mereka untuk mempertimbangkan semula hala tuju kerjaya mereka kerana laluan kerjaya perubatan akan datang bukannya lebih mudah.
Seorang doktor yang bertugas di pusat pemulihan dadah Pengasih dan hanya mahu dikenali sebagai Dr Sassitharan, bersetuju tugas doktor pelatih lebih mudah sekarang berbanding ketika beliau menjadi doktor pelatih dan perlu sentiasa “on call” selama 36 jam berturut-turut setiap minggu.

Beliau senada dengan Cheng, terdapat laporan mengenai dakwaan buli di kebanyakan hospital kerana “doktor pelatih berada paling bawah dalam hierarki hospital”.
Namun katanya, lain orang lain reaksinya terhadap persekitaran bertekanan tinggi di hospital dan ini sebabnya ada yang dapat menyelesaikan latihan mereka tanpa sebarang masalah, manakala yang lain berdepan isu kesihatan mental.
Beliau meminta Jabatan Psikiatri hospital kerajaan menawarkan sesi kaunseling “walk-in” percuma untuk doktor pelatih, seperti di Hospital Selayang.
Cara itu, katanya, dapat mencegah mereka daripada “membuat keputusan salah” yang boleh menjejaskan kesihatan fizikal mereka.
Beliau turut menyarankan doktor pelatih membentuk kumpulan sokongan untuk berkongsi pengalaman dan masalah.
Pakar psikologi klinikal, Dr Chua Sook Ning berkata, pekerja kesihatan antara kumpulan yang paling mudah terdedah kepada kesihatan mental lemah, terutamanya pada masa tertekan seperti pandemik global.
“Sepanjang Covid-19, petugas barisan depan lebih mudah mengalami gejala kemurungan, kebimbangan, kecelaruan tekanan pasca trauma (PTSD) dan tanda-tanda tekanan lain, yang mungkin termasuk perubahan selera makan dan tidur,” katanya kepada FMT.

Katanya, kajian mendapati profesional kesihatan tidak mungkin mendapatkan sokongan kesihatan mental kerana kekurangan akses kepada perkhidmatan sedemikian dan stigma terhadapnya.
“Kita perlu menangani stigma untuk benar-benar menggalakkan mereka mendapatkan bantuan profesional dan memudahkan mereka melakukannya secara peribadi dan sulit,” katanya.
“Menekankan isu ini penting sebagai peringatan kepada orang ramai yang profesional kesihatan hanyalah manusia biasa dan sokongan tambahan sangat membantu di saat-saat tertekan.”