
GEORGE TOWN:Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, anggota exco, serta pegawai kerajaan lain, membuat keputusan untuk mengehadkan pergerakan mereka selepas seorang pengamal media disyaki merupakan kontak rapat kepada seorang pesakit Covid-19.
Juruvideo berkenaan membuat liputan acara yang dihadiri oleh Chow di Komtar pada 28 Oktober.
“Petugas media berkaitan telah menjalani ujian saringan pada hari ini ekoran menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Chow juga menggesa mereka yang menghadiri sidang media itu supaya berada di rumah sementara menunggu keputusan ujian.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan arahan kuarantin hanya akan dikeluarkan sekiranya juruvideo itu didapati positif.
“Semua individu yang hadir sidang media berkaitan adalah dinasihatkan supaya mengurangkan pergerakan luar mereka dan berada di rumah jika tiada keperluan keluar dan pastikan pematuhan tatacara operasi standard (SOP) semasa bekerja atau berada di tempat awam.
“Jabatan memaklumkan arahan kuarantin hanya akan dikeluarkan kepada kontak rapat kes yang disahkan positif Covid-19,” katanya.