Polis siasat punca Sungai Kampung Baru Balakong tercemar

Polis siasat punca Sungai Kampung Baru Balakong tercemar

Ketua JSJ Selangor Fadzil Ahmat berkata pegawai JAS Selangor membuat pemeriksaan di lokasi itu dan mendapati terdapat kesan minyak hitam terapung di atas permukaan alur air, dari kawasan perumahan.

Seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mendapati terdapat kesan minyak hitam terapung di atas permukaan alur air di Kampung Baru Balakong. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kes pencemaran air di alur sungai di Jalan KB 1/10, Kampung Baru Balakong, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Fadzil Ahmat berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor semalam.

Beliau berkata pegawai berkenaaan membuat pemeriksaan di lokasi itu dan mendapati terdapat kesan minyak hitam terapung di atas permukaan alur air, dari kawasan perumahan.

“Pegawai itu mendapati pencemaran berkenaan dipercayai perbuatan berunsur sabotaj. Oleh itu, pihak JSJ telah ke tempat kejadian bersama 3 agensi lain, iaitu pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Indah Water Konsurtium (IWK),” katanya hari ini.

Fadzil berkata beberapa sampel minyak bercampur air diambil untuk diuji kandungannya bagi tujuan siasatan dan pendakwaan kelak.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga tindakan yang dilakukan akan memutuskan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau dalam menjalankan sebarang pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata JSJ Selangor telah mengadakan satu mesyuarat bersama agensi-agensi penguatkuasaan berkenaan air di IPK Selangor pada 20 Okt lepas dan bersepakat untuk menjalankan siasatan serta tindakan bersepadu mengekang pencemaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.