Malaysia dinobat destinasi persidangan, pameran terbaik di Asia

Malaysia dinobat destinasi persidangan, pameran terbaik di Asia

Penghargaan itu sekali lagi menyemarakkan aspirasi negara untuk menjadi pilihan hab acara perniagaan di Asia.

Malaysia turut memenangi anugerah “Best Meetings Hotel” atas kejayaan Grand Hyatt Kuala Lumpur. (Gambar Grand Hyatt Kuala Lumpur)
PETALING JAYA:
Malaysia dinamakan sebagai destinasi terbaik di Asia untuk penganjuran acara perniagaan pada M&C Asia Stella Awards 2020.

Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) Abdul Khani Daud berkata, ia sekali lagi menyemarakkan aspirasi negara untuk menjadi pilihan hab acara perniagaan di Asia.

Katanya, Malaysia turut memenangi anugerah “Best Meetings Hotel” atas kejayaan Grand Hyatt Kuala Lumpur.

M&C Asia Stella Awards 2020 diadakan secara maya dan disiarkan secara langsung di seluruh rantau pada 20 Oktober.

Walaupun 2020 memberi cabaran kepada banyak industri disebabkan Covid-19, Khani berkata kerajaan berkeupayaan menyesuaikan diri dengan “normal baharu” melalui kerjasama dengan pemain industri untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi selamat.

“Untuk memastikan ketahanan dan pertumbuhan industri penganjuran acara perniagaan, kami sedang menjalankan kempen ‘Meet in Malaysia’ dengan fokus kepada usaha menstabilkan dan menyokong industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) secara menyeluruh dan berhubung dengan semua industri persidangan antarabangsa dan penganjur acara,” katanya.

Khani berharap penghargaan itu mendorong rakan industri untuk mencapai tahap lebih tinggi supaya industri MICE secara keseluruhan bertambah kukuh dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.