Timbalan menteri digesa cermin diri, henti salahkan rakyat

Timbalan menteri digesa cermin diri, henti salahkan rakyat

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh membidas Zahidi Zainul Abidin menyalahkan rakyat atas kemelut politik yang berlaku ketika ini.

Syed Ibrahim Syed Noh (kiri) menyifatkan kenyataan Zahidi Zainul Abidin menyalahkan pengundi PH menyebabkan kemelut politik semasa tidak bertanggungjawab dan memalukan.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen PKR membidas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin yang menyalahkan rakyat atas kemelut politik ketika ini sebagai tidak bertanggungjawab dan memalukan.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Zahidi perlu berhenti menyalahkan rakyat dan mencermin diri.

“Saya yakin rakyat tidak lupa gelagat Zahidi berdepan isu terkait (pelajar Universiti Malaysia Sabah) Veveonah Mosibin. Saya juga yakin rakyat tidak lupa kenyataan beliau untuk mengusahakan internet percuma di institusi pengajian tinggi sedangkan kebanyakan IPT sudah ada kemudahan ini.

“Dengan pelbagai kenyataan, peristiwa dan usaha acuh tidak acuh sebagai timbalan menteri komunikasi dan multimedia, adakah beliau berhak meletakkan keadaan sekarang atas bahu rakyat?

“Rakyat melaksanakan amanah membuang undi untuk mengangkat demokrasi tidak salah. Kerajaan yang hanya bermain politik, tidak serius mengambil berat isu terkait rakyat dan meletakkan kesalahan pada pihak lain, inilah yang bersalah dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Zahidi dilaporkan berkata, kemelut politik ketika ini disebabkan kesilapan rakyat mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018.

Katanya, jika kemelut politik itu tidak diselesaikan, ia akan memburukkan lagi keadaan ekonomi negara.

September lalu, Zahidi mencetuskan kontroversi selepas mendakwa Veveonah membuat rakaman tular beliau menduduki peperiksaan di atas pokok untuk mendapat capaian internet lebih baik demi hiburan dan menambah pengikut YouTubenya.

Ahli Parlimen Padang Besar itu kemudiannya memohon maaf dan berkata beliau mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.