
Setiausaha Agungnya, Jonathan Chai berkata, pengecualian cukai itu perlu dimasukkan dalam Belanjawan 2021.
Beliau berkata, sebarang pengurangan atau pengecualian cukai akan membantu mengurangkan kos operasi serta meredakan masalah aliran tunai yang dihadapi kebanyakan sektor terjejas akibat Covid-19.
“Sekiranya pelepasan cukai tidak dapat dilaksanakan, kerajaan perlu mengkaji struktur cukai korporat untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kurangkan kadar sekarang 17% kepada 15% untuk pendapatan kena cukai pertama RM600,000 dengan baki pendapatan bercukai dikenakan 20%.”
Beliau berkata, kerajaan juga perlu melanjutkan program subsidi upah untuk 6 bulan lagi, tanpa mengira sama ada berlaku pengurangan jumlah perniagaan.
Katanya, program itu membantu sejumlah PKS untuk terus bertahan pada waktu kritikal ini, terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan Mac lalu.
Setiausaha Agung Persatuan PKS Sarawak, Jordan Ong berkata, kerajaan mesti menunjukkan komitmen kuat untuk menggalakkan budaya kerja dari rumah dan membantu pemilik PKS.

Katanya, kebimbangan utama ialah mengekalkan kadar pengangguran rendah dengan membantu PKS melalui krisis.
Beliau berkata, perlu ada lebih banyak insentif untuk pembelian berkaitan peranti dan digital, serta tambahan pelepasan cukai untuk perbelanjaan gaya hidup daripada RM2,500 ketika ini kepada RM3,500.
Ong sependapat kerajaan perlu melanjutkan program subsidi upah dan moratorium pinjaman untuk PKS.
Katanya, berdasarkan satu tinjauan persatuannya, 65% PKS di Sarawak mendapat manfaat daripada moratorium pinjaman dan 73% berkata, mereka masih memerlukan bantuan kerajaan.