Anwar, PAS selar kenyataan presiden Perancis terhadap Islam

Anwar, PAS selar kenyataan presiden Perancis terhadap Islam

Kenyataan Macron minggu lalu dibuat sebagai respons kepada pembunuhan seorang guru selepas beliau menunjukkan kartun Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik kebebasan bersuara.

Kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron sebagai respons terhadap pembunuhan seorang guru yang menunjukkan kartun Nabi Muhammad dalam kelas. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Pemimpin politik Malaysia menyelar Presiden Perancis Emmanuel Macron berhubung kenyataannya yang tidak sensitif terhadap Islam.

Dalam kenyataan hari ini Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata, kenyataan Macron yang Islam sedang menghadapi krisis di seluruh dunia menyinggung perasan dan tidak masuk akal.

“Dengan mengembangkan diagnosis yang munasabah terhadap kelompok pinggiran radikal untuk membabitkan bukan sahaja komuniti umat Islam di seluruh dunia tetapi juga sifat Islam adalah jijik dan jahil,” katanya.

Kenyataan Macron minggu lalu dibuat sebagai respons kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris awal bulan ini, selepas beliau menunjukkan kartun Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.

Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan bahan pengajaran, iaitu gambar sama yang mencetuskan serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo, penerbit asalnya pada Januari 2015.

Anwar berkata, dunia Islam tidak lagi memerlukan syarahan lebih daripada sekadar bertoleransi dengan hinaan dan retorik Islamofobik daripada presiden Perancis itu.

“Selagi beliau mengekalkan kejahilannya terhadap keluasaan dan kecanggihan Islam sebagai satu sistem nilai dan cita-cita, kita juga akan gagal memajukan usaha berdepan prejudis fundamentalis yang menimpa kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, PAS hari ini menghantar memorandum kepada Kedutaan Perancis di Malaysia bagi membantah kenyataan presiden Perancis itu.

“PAS menyeru umat Islam bersama mempertahankan Islam. Umat Islam mesti bersatu bagi menjaga kesucian agama ini daripada dirobek dan dihina musuh-musuh Islam di seluruh dunia,” kata Ketua Komunikasi PAS Kamaruzaman Mohamad dalam hantaran di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.