Keputusan semakan kehakiman Deloitte terhadap denda RM2.2 juta ditetap 18 Nov

Keputusan semakan kehakiman Deloitte terhadap denda RM2.2 juta ditetap 18 Nov

Deloitte memohon untuk membatalkan semakan keputusan SC pada 19 Ogos 2019, yang mengekalkan denda RM2.2 juta terhadap firma audit itu yang dikenakan pada 30 Jan 2019.

Mahkamah Tinggi pada asalnya dijadual membuat keputusan mengenai permohonan semakan kehakiman difailkan Deloitte hari ini tetapi ditangguh kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 18 Nov ini untuk keputusan permohonan semakan kehakiman difailkan Deloitte PLT (Deloitte) bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang membatalkan permohonannya untuk mengkaji semula denda berjumlah RM2.2 juta dikenakan terhadap firma audit tersebut.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Deloitte memaklumkan tarikh itu semasa dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp.

Sebelum ini hakim Mariana Yahya menetapkan hari ini untuk keputusan permohonan berkenaan tetapi ditangguhkan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur mulai 14 hingga 27 Oktober.

Sebelum ini, dilaporkan SC mendenda Deloitte sebanyak RM2.2 juta bagi 4 pelanggaran melibatkan bon (sukuk) RM2.4 bilion yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB), anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2014.

Deloitte merupakan juruaudit berkanun bagi BMSB dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE), yang kini dikenali sebagai TRX City Sdn Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 hingga 2016.

Pada 14 Nov 2019, Deloitte memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan SC yang menolak permohonannya bagi mengkaji semula sekatan pentadbiran dan mengekalkan sekatan yang dikenakan terhadapnya.

Pada 25 Nov 2019, Mariana membenarkan Deloitte meneruskan permohonan semakan kehakimannya.

Dalam permohonannya, firma audit itu memohon untuk membatalkan semakan keputusan SC pada 19 Ogos 2019, yang mengekalkan denda RM2.2 juta terhadap Deloitte yang dikenakan pada 30 Jan 2019.

Deloitte turut meminta perintah certiorari bagi membatalkan keputusan semakan SC yang mengenakan denda tersebut, selain meminta pengembalian RM2.2 juta yang dibayar sebagai denda kepada SC sekiranya mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman tersebut, kos atau apa-apa perintah selanjutnya yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.