
“Perlu jelas bahawa RUU itu bukan untuk melindungi wanita sahaja,” kata pengasas bersama All Women Action Society, Betty Yeoh kepada FMT.
“Ia bukan rang undang-undang untuk melindungi kelompok orang tertentu, tetapi undang-undang untuk melindungi semua orang daripada gangguan seksual. Itu perlu difahami oleh ahli Parlimen.”
Beliau berkata ramai orang masih percaya hanya wanita yang mengalami gangguan seksual, sekali gus mengaitkannya dengan kurangnya kajian mengenai gangguan itu dalam kalangan lelaki.
FMT bercakap dengan seorang lelaki yang mengakui dia pernah diganggu secara seksual oleh seorang kaunselor pelatih sewaktu berusia 13 tahun.

“Ketika kebanyakan kaunselor sudah tinggalkan bilik, dia minta saya lihat sesuatu yang dikatakan akan membuat saya relaks dan tenang,” katanya.
“Saya ingatkan dia akan tunjuk sesuatu seperti video ceramah agama atau ceramah motivasi.”
“Sebaliknya, dia ditunjukkan video pornografi.
“Video itu sangat tidak senonoh,” katanya. “Terkejut, saya terus larikan diri.”
Apabila beliau membangkitkan isu itu kepada pihak pentadbir di sekolahnya, mereka menolak dengan mengatakan ia “isu kecil”, tambahnya.
“Gangguan seksual terhadap lelaki sering diabaikan dan ada lelaki yang kadang-kadang menganggapnya sebagai gurauan,” katanya, selain menambah bahawa stigma menyebabkan mangsa sukar bersuara.
Beliau menyeru agar sokongan kepada mangsa diberikan dalam pelbagai bentuk dan mencadangkan talian kecemasan ‘hotline’ dikhususkan untuk menjawab panggilan daripada mangsa.
Dalam bidang sukan, lelaki dilihat lebih mudah terdedah sebagai mangsa gangguan seksual berbanding wanita.
Tinjauan Kolej Universiti Poly-Tech Mara pada 2017 mendapati 19% lelaki dan 11% wanita mengalami gangguan seksual dalam bidang itu.
Daripada 422 atlet yang ditinjau, separuh daripadanya mewakili negara di peringkat antarabangsa, dengan 15.9% menjadi mangsa gangguan seksual.
Yeoh berkata, beliau berharap RUU itu, yang sudah 20 tahun dalam proses penyediaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.
Sebelum 2018, katanya, kerajaan tidak berminat untuk mempercepatkan RUU itu, dengan perkara itu diserahkan kepada beberapa kementerian yang berbeza selama ini.
Ia hampir dibentangkan pada April, tetapi perintah sekatan Covid-19 menyebabkannya tertangguh..

Exco Persatuan Peguam Wanita, Daniella Zulkifili berkata, walaupun sudah ada undang-undang yang merangkumi kes gangguan seksual, beberapa lompang perlu diatasi.
Katanya, kes sivil untuk gangguan seksual memerlukan mangsa mengupah peguam dan menyiapkan kertas mahkamah yang mahal serta memakan masa.
Bagi kes jenayah, katanya, standard bukti yang diperlukan adalah “melampaui keraguan munasabah” menyebabkan banyak laporan polis berakhir tanpa tindakan diambil ke atasnya.
“Sekiranya seseorang sentuh anda atau katakan sesuatu kepada anda, agak sukar untuk kemukakan bukti fizikal kecuali perbuatan itu dirakam atau didokumentasikan,” katanya.
“Banyak kejadian gangguan seksual berlaku dalam situasi seperti itu.”
Beliau berkata definisi gangguan seksual dalam RUU baru perlu diperbaiki, dengan perlindungan yang lebih luas diberikan kepada mangsa atau mereka yang berpotensi menjadi mangsa, tanpa mengira hubungan mereka dengan pelaku.
“Kita usulkan agar sebuah tribunal dibentuk untuk menangani aduan dengan cepat dan secara peribadi, yang tidak memerlukan wakil undang-undang dengan standard bukti ialah imbangan kemungkinan dan pengadu diberi pilihan remedi.
“Kita faham kerajaan sedang merancang untuk membentangkannya pada akhir tahun ini. Kita harap kita dapat membantu dan melihat RUU ini diluluskan. “