Pasangan saman DBKL, TNB atas kematian anak akibat tiang lampu rosak

Pasangan saman DBKL, TNB atas kematian anak akibat tiang lampu rosak

Anak mereka meninggal dunia pada malam 13 Dis 2017, selepas direnjat elektrik di taman permainan Blok B Flat Hang Tuah.

Pasangan itu mendakwa DBKL dan TNB cuai dalam memastikan keselamatan tiang lampu di taman permainan.
KUALA LUMPUR:
Sepasang suami isteri menyaman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) atas dakwaan kecuaian mereka terhadap sebatang tiang lampu rosak menyebabkan kematian anak mereka.

Selvi Simmon dan Daniel Samuel berkata, anak mereka, Samuel meninggal dunia pada malam 13 Dis 2017, selepas direnjat elektrik di taman permainan di Blok B Flat Hang Tuah.

Remaja terbabit, yang berusia 16 tahun ketika itu, disahkan meninggal dunia ketika ambulans tiba 30 minit kemudian.

Pasangan itu mendakwa wayar tiang lampu terbabit tidak ditutup dan terdedah kepada pengguna taman berkenaan.

“Penduduk sudah membuat aduan kepada wakil flat (Ismail Abdullah) supaya perkara itu disampaikan kepada DBKL dan TNB, tetapi tiada tindakan diambil.

“DBKL dan TNB tidak menghiraukan serta gagal mengambil langkah perlu untuk membaiki tiang lampu itu atau meletakkan papan tanda peringatan untuk memberi amaran kepada penduduk mengenai bahaya itu,” kata pasangan terbabit dalam pernyataan tuntutan mereka.

Mereka berkata, DBKL sebagai pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk menyelenggara kemudahan awam, gagal dalam kewajipan statutori mereka untuk memastikan taman awam selamat digunakan.

Sementara itu, Selvi and Daniel berkata, TNB gagal melakukan kerja penyelenggaraan ke atas tiang lampu itu yang mendedahkan bahaya kepada penduduk dan pengguna taman.

“Anak kami tidak akan mati dengan cara menyayat hati, jika DBKL atau TNB mengambil langkah membaiki tiang lampu itu sejak awal.”

Pasangan itu menuntut ganti rugi am dan teruk serta ganti rugi khas RM6,000 untuk kos pengebumian Samuel.

Dalam pembelaan mereka, DBKL berkata, mereka sudah mengambil langkah berjaga-jaga perlu dengan menjalankan pemeriksaan berkala di taman mereka bagi memastikan lampu berfungsi sepenuhnya dan tidak mendedahkan sebarang risiko kepada orang ramai.

“Jika aduan dibuat mengenai kerosakan sebatang tiang lampu di taman, ia akan ditangani segera.

“Kami mempunyai sepasukan kontraktor yang bertugas dan bersedia membantu melakukan kerja pembaikan itu.”

DBKL menegaskan “sebahagian atau keseluruhan” kematian Samuel “disebabkan kecuaian remaja itu atau ibu bapanya”.

“Ibu bapa membiarkan si mati (Samuel) berdekatan tiang lampu rosak tanpa pengawasan orang dewasa.

“Kami turut mendapati TNB gagal melaksanakan satu sistem berkesan untuk menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala ke atas lampu jalan.”

Sementara itu, TNB menafikan ia mengetahui kerosakan wayar di taman permainan blok B kerana tidak pernah menerima sebarang aduan mengenainya.

“Kami juga ingin menekankan sebahagian atau keseluruhan kematian itu disebabkan DBKL, iaitu badan yang menguruskan taman di sekitar ibu kota,” kata TNB.

Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Nov ini untuk sebutan semula kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.