
Beliau berkata rang undang-undang (RUU) baru untuk mengawal semua produk berkaitan tembakau dan rokok elektronik sepatutnya diperkenalkan pada akhir 2019 dan RUU Kawalan Tembakau itu sedang digubal ketika beliau menjadi menteri.
Bagaimanapun katanya, ia masih belum menemui jalan penyelesaian.
Dzulkefly berkata, beliau “dimaklumkan akta baru berada di Jabatan Peguam Negara”.
Namun katanya, “seperti kita tahu, syarikat tembakau sangat lantang dalam menentang akta itu.”
Beliau menambah, “akta berasingan untuk mengawal selia tembakau akan menyediakan rangka kerja diperlukan untuk mengawal perniagaan dan perdagangan melibatkan penghasilan, pembekalan dan pengedaran” produk tembakau.
Dr Lekraj Rampal dari Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) berkata, hanya undang-undang tunggal akan membolehkan Malaysia memenuhi matlamatnya untuk mengurangkan kadar merokok di bawah 5% menjelang 2045.
“Salah satu isu besar adalah penjualan dan promosi produk baru merokok seperti rokok elektronik, produk tembakau yang dipanaskan dan vape yang tidak termasuk dalam Akta Makanan.
“Perkara lain yang kita perlu lakukan adalah meningkatkan had umur pembeli yang dibenarkan dari 18 menjadi 21 kerana pembeli muda mungkin tidak tahu tentang bahaya ketagihan merokok.”
Dr Zarihah Mohd Zain, bekas pegawai Kementerian Kesihatan yang bertanggungjawab merangka peraturan asal merokok di Malaysia berkata, pada mulanya ia diletakkan di bawah Akta Makanan 1983 kerana lebih mudah.
“Kita mahu penambahbaikan yang cepat pada 1994 kerana sekiranya anda mahu akta tunggal, ia perlu melalui Parlimen dan banyak lagi, ini melibatkan banyak kerja.”
Zarihah bagaimanapun berkata, kini “(kerajaan) perlu ketepikan peraturan sedia ada kerana terdapat banyak kelonggaran” yang tidak boleh ditampung kerana “semua undang-undang di bawah akta makanan perlu mematuhi undang-undang ibu”.
Katanya, langkah demikian akan membolehkan kemas kini berkait definisi produk, peraturan pelabelan moden dan undang-undang berhubung produk merokok yang belum diperkenalkan semasa undang-undang digubal.
Dalam pada itu Lekraj berkata, kerajaan mesti bertindak pantas dalam memenuhi sasaran semasa dan melindungi rakyat daripada penyakit tidak berjangkit seperti barah dan komplikasi jantung.