
Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin berkata, pihaknya sudah menerima laporan membabitkan isu pencemaran air di sungai itu dan siasatan dijalankan dengan bantuan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Tindakan tegas dari sudut undang-undang akan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu, ” katanya kepada FMT.
Noor Azam berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat sehingga memutuskan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau dalam menjalankan sebarang pengeluaran.
Terdahulu, Menteri besar Amirudin Shari menjangkakan masalah pencemaran bau di Sungai Selangor pulih petang ini dan bekalan air mula disalurkan secara berperingkat.
Amiruddin berkata, laporan polis juga sudah dibuat berhubung kes pencemaran yang berlaku sejak awal pagi tadi dan ketika ini siasatan membabitkan isu berkenaan sedang dijalankan.
LUAS memaklumkan operasi 4 loji rawatan air (LRA) di Selangor terpaksa dihentikan akibat pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.
Katanya, LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3 ditutup dari 12.30 pagi hingga 2 pagi tadi.
Air Selangor pula memaklumkan pencemaran itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang melibatkan 1.19 juta akaun pengguna.
Awal bulan lalu, pencemaran di Sungai Gong menyebabkan gangguan air tidak berjadual selama beberapa hari yang menjejaskan hampir 1.2 juta isi rumah di 1,292 kawasan di Lembah Klang.