Muhyiddin kembali ke Perdana Putra selepas kuarantin 14 hari

Muhyiddin kembali ke Perdana Putra selepas kuarantin 14 hari

Beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi membincangkan kesan Covid-19 terhadap ekonomi Johor selain sidang khas MKN mengenai situasi terkini jangkitan dalam negara.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kembali ke pejabat selepas menjalani kuarantin 14 hari.
PETALING JAYA:
Selepas 14 hari menjalani kuarantin di rumah, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kembali ke pejabatnya di Perdana Putra hari ini.

Beliau turut mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) khusus membincangkan kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi Johor.

“Mesyuarat yang diadakan secara sidang video itu disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad serta pegawai kanan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPENJ),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Antara isu dibincangkan, cadangan penubuhan pasukan petugas khas bagi mengumpul data dan statistik rakyat Johor yang bekerja di Singapura.

“Mesyuarat juga menyentuh mengenai keperluan membuka semula sempadan Johor dan Singapura, antara lain bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Turut dibincangkan, permohonan pembiayaan oleh kerajaan Johor bagi menghidupkan semula industri pelancongan susulan penularan wabak yang memberi kesan besar kepada sektor tersebut,” katanya.

Muhyiddin turut mempengerusikan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincangkan situasi terkini jangkitan Covid-19 dalam negara termasuk status di Sabah dan Lembah Klang.

Beliau turut mempengerusikan mesyuarat MKN berkenaan Covid-19 setiap hari bermula 7 Oktober, menerusi sidang video sepanjang tempoh kuarantin.

Pada 5 Oktober lalu, Muhyiddin menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19.

Zulkifli menghadiri mesyuarat MKN yang dipengerusikan perdana menteri pada 3 Oktober lalu.

Tempoh kuarantin 14 hari Muhyiddin tamat Jumaat lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.