
Ketua Polis Daerah Baling, Syed Basri Syed Ali berkata, insiden itu berlaku di rumah suspek ketika anggota polis cuba mendapatkan penjelasan, susulan tindakannya merakam gambar petugas keselamatan menjalankan tugas di satu sekatan jalan raya di kampung itu.
“Kira-kira 10.40 pagi di kawasan sekatan jalan raya diadakan, suspek yang berusia 43 tahun merakam gambar petugas keselamatan di situ kerana marah tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPB.
“Anggota polis kemudian mengekori suspek sehingga ke depan rumahnya dan cuba mendapatkan penjelasan mengenai tindakannya mengambil gambar tersebut sebelum suspek bertindak memarahi anggota polis berkenaan.
“Suspek kemudian masuk ke rumah dan keluar sambil mengangkat cangkul dan menuju ke arah seorang anggota polis dan cuba menghayun cangkul itu ke arah anggota tersebut, tetapi tidak berjaya kerana anggota polis lain menyekatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berlaku pergelutan antara anggota polis dengan suspek sebelum dia ditahan.
Syed Basri berkata, siasatan awal mendapati suspek yang bekerja kilang itu mengambil gambar petugas keselamatan di sekatan jalan raya itu kerana tidak berpuas hati tidak dibenarkan keluar dari kampung.
Katanya, suspek tidak tergolong sebagai individu yang mendapat kebenaran untuk keluar dari kawasan PKPB berdasarkan SOP ditetapkan.
Suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.