Jawatan menteri kesihatan Sabah tiada kuasa, ibarat harimau tanpa taring, kata Masidi

Jawatan menteri kesihatan Sabah tiada kuasa, ibarat harimau tanpa taring, kata Masidi

Menteri kerajaan tempatan dan perumahan Sabah itu berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerja rapat dengan pengarah kesihatan negeri dan Jabatan Kesihatan Sabah untuk menangani isu Covid-19.

Masidi Manjun mempengerusikan sidang media perkembangan semasa Covid-19 di Sabah hari ini.
KOTA KINABALU:
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, portfolio menteri kesihatan di negeri itu ibarat harimau tidak bertaring kerana pemegang jawatan itu tiada kuasa dari segi undang-undang untuk membuat dasar.

Katanya, semua fungsi Kementerian Kesihatan seperti yang diwujudkan sebelum ini, terletak di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang dipimpin Shahelmey Yahya.

“Saya ingin tegaskan, cara kita mengurus Covid-19 di Sabah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan sebelum ini, cuma mungkin kita tiada Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang media perkembangan semasa Covid-19 di Sabah hari ini.

“Walaupun tiada menteri kesihatan, tetapi apa perkara yang timbul telah diambil tindakan. Kalau kita lihat masalah mewujudkan Kementerian Kesihatan ini ialah tiada kuasa undang-undang membuat dasar, ia seperti harimau yang tidak menggigit, hanya takutkan orang, tetapi tiada kuasa.”

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerja rapat dengan pengarah kesihatan negeri dan Jabatan Kesihatan Sabah (JKNS) untuk menangani isu Covid-19.

“Pendekatan kita adalah bekerjasama dengan agensi kerajaan persekutuan yang ada kuasa undang-undang, secara kesimpulannya kita tahu apa yang berlaku kerana setiap hari kita ada taklimat, bukan saja dengan pengarah kesihatan negeri, tetapi juga dengan ketua pengarah kesihatan.

“Kita ada fakta dan maklumat yang diterima setiap hari, percayalah kepada saya, kami tahu apa yang kami sedang buat.

“Saya tidak mahu bertengkar mengenainya (portfolio menteri kesihatan Sabah), tetapi saya hanya mahu menjelaskan rasional kenapa kerajaan negeri tidak mewujudkan Kementerian Kesihatan.”

Dalam perkembangan lain, Masidi memberi jaminan semua hospital di Sabah masih mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Kita telah mengubah suai banyak bangunan, iaitu sebanyak 22 buah untuk dijadikan pusat perubatan sementara bagi merawat kes-kes yang kita rasa tidak serius seperti di peringkat 1 atau 2.

”Saya juga ingin menafikan dakwaan hospital di Ranau kehabisan peralatan perlindungan peribadi (PPE). Ini tidak betul kerana sekiranya ada keperluan mendadak, hospital-hospital di Sabah boleh menghantar PPE kepada hospital memerlukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.