
Beliau mengulas laporan bahawa Upko berhasrat untuk bertanding di beberapa kerusi milik GRS, termasuk Limbahau, Kiulu dan Tamparuli.
Masidi berkata rundingan antara GRS dan PH dijalankan dengan penuh keikhlasan dan mesti dihormati oleh semua pihak, termasuk Upko yang merupakan sebahagian daripada gabungan PH Sabah yang terdiri daripada empat parti.
“Upko adalah sebahagian daripada PH. Atas dasar itu, kami menjangkakan semua pihak akan menghormati perjanjian tersebut,” katanya seperti dipetik The Borneo Post.
“Jika mereka tidak berbuat demikian, ia akan membuka ruang kepada pertembungan lebih besar dalam pilihan raya nanti.
“Bagi kami di GRS, kerusi yang telah dirunding dengan PH adalah kerusi yang akan kami tandingi, tanpa mengira siapa lagi yang akan bertanding.”
Setiausaha Agung Upko Nelson Angang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding di kerusi Limbahau semasa konvensyen parti itu di Papar bulan lalu.
Pada konvensyen Tuaran yang turut diadakan bulan lalu, parti itu mencadangkan Presiden Kehormat Wilfred Madius Tangau sebagai calon bagi kerusi Tamparuli, manakala Timbalan Ketua Bahagian Joisin Romut untuk kerusi Kiulu.
Ketika ini, kerusi Limbahau disandang oleh Juil Nuatim daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), manakala Tamparuli dan Kiulu masing-masing disandang oleh Jahid Jahim dan Joniston Bangkuai, kedua-duanya daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).
Masidi berkata GRS akan berpegang teguh kepada kerusi yang diputuskan melalui perbincangan dengan PH, sambil menegaskan bahawa sikap saling menghormati perjanjian adalah penting untuk mengekalkan perpaduan dalam gabungan itu.
Apabila ditanya sama ada beliau menjangka akan berlaku pertembungan bebas dalam pilihan raya akan datang, Masidi berkata apa sahaja boleh berlaku dalam politik, namun beliau berharap ‘akal yang waras akan mengatasi emosi’.
“Jika kita terus bergaduh sesama sendiri, kita sebenarnya memberi peluang kepada pihak lawan untuk menang.
“Kalau kita sudah bersetuju untuk bekerjasama sebagai satu pasukan, maka kita harus beroperasi sebagai satu pasukan.
“Anda tidak boleh mengaku sebagai kawan tetapi pada masa sama menikam dari belakang. Pada pandangan saya, persahabatan tidak boleh berfungsi begitu,” katanya.
Perbincangan kerusi BN-PH di peringkat akhir
Sementara itu, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin berkata perbincangan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan PH kini di fasa akhir dengan hampir 70% dimuktamadkan.
Beliau berkata masih terdapat beberapa kerusi yang perlu diperhalusi antara kedua-dua pihak bagi mencapai persetujuan bersama sebelum pengumuman rasmi dibuat, lapor Bernama.
“Insya-Allah saya akan berjumpa dengan pimpinan-pimpinan ini pada 3 atau 4 Nov ini untuk kita selesaikan,” katanya kepada pemberita di Sandakan.
Beliau turut mengesahkan BN akan mengurangkan kerusi ditandingi.
PRN Sabah ke-17 akan diadakan pada 29 Nov, dengan hari penamaan calon pada 15 Nov dan pengundian awal pada 25 Nov.