Ketua penerangan STAR dijangka lawan Masidi di Karanaan

Ketua penerangan STAR dijangka lawan Masidi di Karanaan

Kerusi itu disandang Setiausaha Agung GRS yang juga Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun sejak diwujudkan pada 2004.

Ketua Penerangan STAR Anuar Ghani dijangka membuat penampilan sulung pada PRN bulan depan dengan mencabar Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun (kiri) yang mewakili Karanaan sejak 2004. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dijangka mempertaruhkan Ketua Penerangannya, Anuar Ghani di kerusi Karanaan yang disandang sekian lama oleh Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun pada PRN bulan depan.

STAR Bahagian Karanaan sebulat suara mencalonkan Anuar bertanding kerusi itu atas alasan beliau memahami suara masyarakat tempatan dan mempunyai latar belakang profesional yang kukuh.

Jika diluluskan parti, ia mungkin menjadi pertarungan sengit pada PRN Sabah kerana Masidi mewakili kawasan itu selama lima penggal sejak diwujudkan pada 2004.

Masidi, setiausaha agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dijangka bertanding untuk penggal keenam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan.

Pada PRN 2020, beliau mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,814 undi. Ketika itu, beliau masih bersama Bersatu Sabah.

Anuar merupakan peguam dan bekas setiausaha politik Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan, yang juga presiden STAR. PRN bulan depan dijangka menjadi penampilan sulungnya dalam pilihan raya.

Beliau juga anak kepada bekas menteri persekutuan, mendiang Abdul Ghani Gilong dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu atau Usno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.