Datuk ditahan menyamar pegawai kanan polis

Datuk ditahan menyamar pegawai kanan polis

Polis berkata, siasatan mendapati suspek itu mempunyai 4 rekod jenayah lampau membabitkan kes tipu di Selangor dan Kuala Lumpur serta memiliki syarikat keselamatan.

Suspek berusia 43 tahun itu ditahan Jumaat lalu, susulan penahanan seorang lelaki yang disyaki along pada 12 Okt lalu di Cheras.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki berpangkat Datuk ditahan kerana disyaki menyamar sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman untuk menyelesaikan pinjaman along pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kira-kira 11.15 pagi, susulan penahanan seorang lelaki yang disyaki along berusia 36 tahun pada 12 Okt lalu di Cheras.

Katanya, kedua-dua tangkapan itu dibuat berikutan laporan seorang peniaga lelaki berusia 40 tahun pada 4 Okt lalu.

“Pada 2017, mangsa (peniaga) membuat pinjaman dengan along sebanyak RM200,000 sebagai pusingan modal perniagaan dan membuat bayaran bulanan tanpa gagal sebanyak RM1,500 sebulan.

“Pada Mac 2020, mangsa tidak mampu membuat bayaran kerana perintah kawalan pergerakan (PKP). Sejak itu, mangsa sering diganggu dan diugut along sehingga mendatangkan ketakutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peniaga itu berkenalan dengan lelaki berpangkat Datuk terbabit yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman dan suspek menawarkan diri untuk membantu mangsa dengan menghubungi seorang lelaki tempatan dipercayai along yang memberikan pinjaman itu.

“Suspek berbincang dengan along itu kononnya suspek akan menyelesaikan hutang mangsa. Suspek menghubungi peniaga itu memberitahu segala urusan pembayaran hutangnya mestilah melaluinya. Mangsa menyerahkan wang RM60,000 kepada suspek untuk melangsaikan hutangnya.”

Bagaimanapun, mangsa menerima panggilan mendakwa hutangnya dengan along belum selesai, sebelum membuat laporan polis.

Siasatan mendapati suspek bergelar Datuk itu mempunyai 4 rekod jenayah lampau membabitkan kes tipu di Selangor dan Kuala Lumpur serta memiliki syarikat keselamatan.

Seorang lagi suspek disyaki terlibat dengan aktiviti kongsi gelap.

Katanya, kedua-dua suspek direman masing-masing 3 dan 7 hari serta kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.