
Kementerian itu berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sentiasa menjalankan pemeriksaan bersepadu dan berkanun secara berkala serta mengejut ke atas syarikat utama pembuatan produk berasaskan getah untuk memastikan mereka mematuhi undang-undang, khasnya Akta Kerja 1955.
Katanya, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan turut mempengerusikan dialog dengan syarikat pembuatan produk berasaskan getah yang memberi komitmen dan kerjasama dengan mengambil tindakan pembetulan terhadap ketidakpatuhan berhubung hak, kebajikan, perundangan, keselamatan serta kemudahan pekerja.
“Kementerian akan terus mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana majikan yang masih gagal mematuhi perundangan dan peraturan perburuhan negara,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Sumber Manusia berkata, sebanyak 10,513 pemeriksaan berkanun dijalankan JTK dalam sektor pembuatan tahun lalu.
Daripada jumlah itu, katanya, 7 kertas siasatan dibuka terhadap 7 syarikat di dalam negara kerana melanggar Akta Kerja 1955 dan kompaun dikeluarkan kepada majikan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, pindaan Akta Standard Minimum dan Kemudahan Pekerja 1990 bagi menetapkan standard minimum penginapan, perumahan dan persekitaran selamat untuk mencegah penyakit berjangkit serta menambah baik keadaan hidup pekerja antara inisiatif proaktif dalam menangani isu buruh paksa dalam sektor pembuatan.
“Akta dan peraturan ini telahpun berkuat kuasa 1 Jun dan 1 Sept 2020.”
Industri getah negara berdepan satu lagi tamparan apabila DOL menambah sarung tangan getah Malaysia dalam senarai pengeluaran barangan buruh paksa.
Laporan Senarai Barangan Dihasilkan Buruh Kanak-kanak atau Buruh Paksa 2020 yang diterbitkan DOL akhir bulan lalu mendakwa terdapat pekerja yang dipaksa menghasilkan sarung tangan getah di Malaysia.
Menurut laporan itu, sebahagian besar daripada anggaran 42,500 buruh migran dari Bangladesh, India, Myanmar serta Nepal bekerja di lebih 100 kilang sarung tangan getah di seluruh negara.
Ini menyusul 2 pemain utama yang diletakkan dalam senarai larangan import berasingan oleh sebuah lagi agensi AS atas alasan sama.
Dalam laporan Senarai Barangan Dihasilkan Buruh Kanak-kanak atau Buruh Paksa yang diterbitkan pada 2018, industri elektrik, pakaian dan minyak sawit termasuk dalam kategori buruh paksa atau kanak-kanak.
Tiga industri itu turut termasuk dalam senarai baru tahun ini.