Jemaah solat Jumaat, fardu terhad di 3 negeri PKPB

Jemaah solat Jumaat, fardu terhad di 3 negeri PKPB

Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan dibuat menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.
PETALING JAYA:
Solat Jumaat dan fardu di masjid serta surau dengan jumlah jemaah terhad dibenarkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan dibuat menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Di Wilayah Persekutuan, Zulkifli berkata selepas berbincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), keputusannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi solat Jumaat ia tidak melebihi 50 orang jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan 1m antara jemaah.

Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Sementara itu solat fardu tidak melebihi 20 orang jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan 1m antara jemaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jemaah akan ditentukan jawatankuasa kariah masjid dan surau Jumaat masing-masing melalui jemputan atau kaedah terbaik yang diputuskan bersesuaian.

Zulkifli berharap, JAWI dapat memastikan semua SOP dapat dipatuhi sebaiknya oleh jemaah demi kemaslahatan bersama.

Katanya, bagi negeri terlibat dengan PKPB merujuk kepada Selangor ia bergantung kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di negeri tersebut.

Kerajaan melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober bagi mengekang penularan Covid-19.

Susulan keputusan itu semua masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain di 3 negeri itu sebelum ini ditutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.