SAPP tak faham fungsi menteri kesihatan Sabah, kata aktivis politik

SAPP tak faham fungsi menteri kesihatan Sabah, kata aktivis politik

Zainnal Ajamain berkata presiden SAPP silap mentafsirkan fungsi utama menteri kesihatan bukan semata-mata menyediakan prasarana kesihatan seperti hospital dan klinik kepada orang awam.

Zainnal Ajamain berkata kewujudan kementerian itu di Sabah tidak akan menyebabkan pertindihan fungsi atau tugas disebabkan “vector control” bawah bidang kuasa ordinan kesihatan awam. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Aktivis politik Sabah Zainnal Ajamain menyelar kenyataan Presiden SAPP Yong Teck Lee yang menyatakan kewujudan Kementerian Kesihatan di Sabah hanya menyebabkan pertindihan tugas dengan persekutuan serta merugikan.

Katanya, Yong silap mentafsirkan fungsi utama menteri kesihatan bukan hanya semata-mata menyediakan prasarana kesihatan seperti hospital dan klinik kepada orang awam.

“Salah 1 fungsi utama Kementerian Kesihatan di Sabah juga termasuk penjagaan penyebaran penyakit berjangkit atau ‘vector control’.

“Ia termasuk Covid-19 sebagai penyakit berjangkit yang perlu dibendung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kewujudan kementerian itu di Sabah tidak akan menyebabkan pertindihan fungsi atau tugas disebabkan “vector control” bawah bidang kuasa ordinan kesihatan awam.

“Undang-undang berkenaan (ordinan kesihatan awam) bawah bidang kuasa menteri kerajaan tempatan mengikut ordinan kerajaan tempatan Sabah.

“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Malaysia melindungi kuasa kerajaan tempatan dan ia adalah bidang kuasa Sabah serta tidak boleh diserahkan kepada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan sepenuhnya.

“Sebagai seorang bekas ketua menteri dan seorang peguam, Yong sepatutnya lebih arif mentafsir Perlembagaan Malaysia dan MA63,” katanya.

Zainnal berkata, ordinan kesihatan awam tidak pernah diaktifkan sejak 1963 disebabkan Sabah tidak pernah berdepan dengan keadaan seperti pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bererti Sabah diserahkan secara bulat-bulat kepada kerajaan persekutuan kerana ia bertentangan dengan hak dilindungi dalam MA63 yang dimasukkan dalam perlembagaan negara.

“Sangat nyata di sini seorang bekas ketua menteri dan peguam tidak peka serta tidak faham kuasa undang-undang yang ada di Sabah, bagaimana mungkin orang ini (Yong) boleh mendapatkan kembali hak Sabah seperti termaktub dalam MA63,” katanya.

Semalam, Yong dalam kenyataan berkata, pelantikan menteri kesihatan dalam kerajaan baharu diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan menyebabkan pertindihan tugas dengan kementerian itu di peringkat persekutuan.

“Sebenarnya, kementerian kerajaan tempatan Sabah selalu bertanggungjawab terhadap kesihatan awam di bawah Ordinan Kesihatan Awam 1960 dan Ordinan Kerajaan Tempatan 1961.

“Kementerian ini sebenarnya mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan peraturan dan menyabitkan kesalahan bagi pesalah yang melanggar undang-undang dalam membendung penyebaran berjangkit penyakit.

“Tidak perlu disebut ‘menteri kesihatan’ yang berpura-pura menjadi menteri kesihatan persekutuan (yang bertanggungjawab untuk perkhidmatan perubatan dan hospital),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.