
Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, mangsa Liew Han Chong, 65, ditemui rentung di dalam tandas di tingkat atas rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai bermula apabila seorang lelaki yang bertengkar dengan ibu saudaranya membakar tilam di biliknya sebelum merebak ke rumah sebelah.
“Sebelum kejadian, suspek dikatakan bertengkar dengan ibu saudaranya lalu bertindak membakar tilam di biliknya.
“Api kemudiannya merebak dan suspek bersama 3 ahli keluarga sempat menyelamatkan diri, manakala seorang lelaki ditemui rentung bersebelahan rumah suspek terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, susulan kejadian itu, polis menahan suspek kira-kira jam 4 pagi tadi.
“Suspek ditahan dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat,” katanya.