Pengurus bank lesap RM1.97 juta diperdaya ‘pegawai polis’

Pengurus bank lesap RM1.97 juta diperdaya ‘pegawai polis’

Mangsa dikatakan terbabit dalam kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pengubahan wang haram.

Selepas memindahkan semua wangnya mangsa diarahkan untuk tidak membuat semakan dengan banknya.
KUALA LUMPUR:
Seorang pengurus sebuah agensi perbankan kerugian lebih RM1.97 juta apabila diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai polis pada Mei.

Kejadian bermula pada 5 Mei apabila wanita berusia 50 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit dalam kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa turut dimaklumkan dirinya mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pengubahan wang haram dan menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp berkenaan waran tangkap yang dikeluarkan polis terhadapnya.

“Mangsa yang menafikan pembabitannya dalam kes itu kemudian diminta memberikan kerjasama dengan memindahkan wang di dalam akaun bank miliknya ke sebuah akaun baharu bagi tujuan siasatan Bank Negara.

“Susulan itu, mangsa mengeluarkan semua wang hasil daripada penjualan saham di Singapura, pinjaman peribadi, wang simpanan, wang simpanan tetap dan penjualan polisi insurans ke dalam akaun baharu seperti diarahkan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, suspek turut mengarahkan mangsa tidak membuat semakan dengan pihak bank dari Mei hingga September lalu dengan alasan bagi melancarkan siasatan.

Katanya, mangsa dijanjikan akan menerima surat pengesahan sama ada didapati bersalah atau tidak pada penghujung September atau awal Oktober ini dan wang di dalam akaun bank baharu itu akan dipindahkan kembali kepada mangsa sekiranya didapati tidak bersalah.

Nik Ezanee berkata, pada 8 Oktober mangsa membuat laporan selepas tidak menerima surat pengesahan seperti dijanjikan dan seterusnya membuat semakan di dalam akaunnya mendapati wang berjumlah RM 1,979,976 telah dikeluarkan secara berperingkat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.