MMA nasihat Thaipusam tidak diadakan besar-besaran kerana Covid-19

MMA nasihat Thaipusam tidak diadakan besar-besaran kerana Covid-19

Kebiasaannya Thaipusam disambut secara besar-besaran di 4 kuil di Batu Caves, George Town, Ipoh, dan Sungai Petani.

Thaipusam jatuh pada 28 Jan tahun hadapan tetapi penganut Hindu akan membuat persiapan untuk membayar nazar mereka seawal 3 bulan sebelum tarikh berkenaan.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menasihatkan agar sambutan Thaipusam bagi 2021 tidak diadakan secara besar-besaran seperti yang berlangsung saban tahun berikutan ancaman pandemik Covid-19.

Presiden Dr Subramaniam Muniandy berkata mungkin mustahil untuk mengamalkan SOP dengan kehadiran ramai penganut Hindu dan orang ramai yang akan membanjiri kuil pada acara sambutan perayaan itu.

Thaipusam jatuh pada 28 Jan tahun hadapan tetapi penganut Hindu akan membuat persiapan untuk membayar nazar mereka seawal 3 bulan sebelum tarikh berkenaan.

“Pastinya lebih 1 juta orang dijangka akan menghadiri sambutan Thaipusam (di kuil Batu Caves), dan kawalan ke atas pengunjung seramai itu nampak mustahil dan ini boleh mengancam kesihatan dan keselamatan mereka terutamanya penganut Hindu yang hadir,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pematuhan SOP seperti pemeriksaan suhu badan, catatan kehadiran dan penjarakan fizikal mungkin amat sukar untuk dipatuhi kerana jumlah pengunjung yang ramai.

Subramaniam menggesa jawatankuasa pengurusan kuil dan kerajaan supaya membuat pengumuman awal sebelum penganut Hindu memulakan persiapan membayar nazar seperti membuat kavadi dan sebagainya, kira-kira 3 bulan sebelum perayaan itu.

Di Malaysia, Thaipusam disambut secara besar-besaran sekurang-kurangnya di 4 tempat, di Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves, Selangor; Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di George Town, Pulau Pinang; Kuil Arul Subramaniar di Ipoh, Perak; dan Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Presiden Hindu Sangam Malaysia, RS Mohan Shan, berkata sambutan Thaipusam tahun hadapan bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 dan keputusan kerajaan.

Beliau meminta penganut Hindu agar menghormati keputusan sekiranya kerajaan tidak membenarkan sambutan Thaipusam diadakan secara besar-besaran.

“Ia melibatkan soal kesihatan dan nyawa, jadi kita perlu membuat satu keputusan rasional,” katanya.

Mohan berkata penganut Hindu masih boleh bersembahyang di rumah masing-masing dan menunaikan nazar pada tahun-tahun akan datang.

Malaysia menyaksikan kenaikan mendadak kes positif Covid-19 dengan peningkatan tiga digit kes baharu dan jumlah kes mencecah 14,368 setakat tengah hari tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.