Demi keadilan, Indira akan berjalan kaki sejauh 350km dari Utara ke Putrajaya

Demi keadilan, Indira akan berjalan kaki sejauh 350km dari Utara ke Putrajaya

Untuk menghantar surat tuntutan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan juga memorandum kepada Agong.

PETALING JAYA:
Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) dan M Indira Gandhi, ibu yang kehilangan anaknya sejak 2009 selepas kanak-kanak itu dilarikan bekas suami, akan berjalan kaki sejauh 350 kilometer dalam tempoh 12 hari bermula dari utara Semenanjung ke Putrajaya.

Menurut Pengerusi Ingat, Arun Dorasamy, dalam undangan ke sidang media, suatu taklimat akan diadakan esok bagi bagi menjelaskan secara terperinci matlamat dan tujuan jalan kaki berkenaan.

“Untuk menghantar surat tuntutan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan juga memorandum kepada Agong,” katanya kepada FMT.

Pada September lalu, Indira berharap dapat berjumpa semula dengan anak perempuannya, Prasana Diksa yang diambil bekas suaminya 11 tahun lalu, sempena sambutan Deepavali pada November ini, tanpa mengira agama dianutinya.

Bekas guru tadika itu berkata, beliau hanya mahu melepaskan kerinduan kepada anak bongsunya.

Prasana berusia setahun ketika bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah mengambilnya daripada Indira pada 2009.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberi jaminan akan menyelesaikan kemelut antara Indira dengan bekas suaminya yang kini berada di luar negara.

Hamid berkata pihaknya mahu menyelesaikan isu itu dengan cara tersendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak supaya Indira dapat disatukan semula dengan Prasana.

Riduan memeluk Islam pada 2009 sebelum menukar agama 3 anak mereka tanpa izinnya.

Mahkamah Persekutuan pada April 2016 mengarahkan polis menahan Riduan kerana menghina mahkamah selepas gagal mematuhi perintah menyerahkan Prasana kepada Indira.

Indira berjaya membatalkan penukaran agama 3 anaknya oleh Riduan pada 29 Jan 2018, selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Pada 24 April 2019, Ketua Polis Negara ketika itu, Mohamad Fuzi Harun mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk mengesan Riduan dan Prasana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.