
Selepas 10 pagi ini, kira-kira 1.784 juta pengundi akan mengetahui calon bakal bertanding di 73 kerusi DUN sempena PRN Sabah. Degupan jantung politik negeri itu bermula sejurus nama-nama disahkan, membawa harapan dan keresahan berbaur.
Tangan pengundi pada 29 Nov depan akan menentukan siapa menjadi ‘Yang Berhormat’ di kawasan mereka untuk tempoh lima tahun. Dalam erti kata lain, mereka bukan sekadar memilih wakil rakyat tetapi sebuah kerajaan baharu yang diharap mampu membawa kestabilan dan kesejahteraan.
Ironinya, sebelum loceng penamaan calon dibunyikan, drama politik Sabah sudah bergema dari kampung ke bandar. Ramai sudah dapat menghidu PRN kali ini bukan sekadar pertarungan parti, tetapi pergelutan emosi dan maruah.
Bermula dengan kisah individu yang berharap menjadi calon tetapi tidak terpilih, hinggalah penyandang digugurkan tanpa banyak penjelasan. Pada masa sama, wajah-wajah baharu mendapat peluang, menggambarkan rencah politik Sabah yang tidak pernah sunyi daripada kejutan.
Namun antara semua perkembangan itu, gempa terbesar berlaku apabila Upko mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH). Keputusan itu, yang dikaitkan dengan isu 40% hasil Sabah, membuatkan PKR, DAP dan Amanah kehilangan satu-satunya parti komponen 100% berakar umbi Sabah.
Kisah dua orang muda Jordan Jude Ellron dan Razzidin Robert tidak dicalonkan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) walaupun namanya telah diumumkan lebih awal oleh Presiden Jeffrey Kitigan, antara kisah ‘tragis’ mereka yang tidak dapat bertanding atas platform parti.
Jordan mendakwa dia menjadi mangsa ‘prank’ Kitingan, tetapi hanya pemimpin veteran penuh warna warni itu mempunyai jawapan sendiri.
Seolah-olah itu belum cukup, menjelang penamaan calon hari ini tercetus pula satu kontroversi baharu. Kali ini ‘diimport’ dari Semenanjung. Ucapan Exco Kedah Mansor Zakaria, walaupun dilontarkan beribu kilometer jauhnya, mencetuskan gelombang kemarahan di Sabah.
Adun Kuala Ketil dari PAS itu dipetik berkata: “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja.” Ayat sinis itu bukan sahaja dianggap menghina, tetapi menyentuh sensitiviti pengundi Sabah.
Mansor membuat kenyataan itu ketika menjawab kritikan terhadap kerajaan Kedah mengenai kenaikan cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). Katanya, isu itu turut dijadikan bahan kempen PRN Sabah untuk memburukkan PAS, walaupun konteksnya tidak jelas.
Selepas dikecam dari pelbagai arah, Mansor memohon maaf dan menarik balik kenyataannya. Namun ramai pemerhati berpendapat, ‘luka’ kenyataan itu sudah pun merebak, terutama dalam suasana politik Sabah yang penuh curiga terhadap parti-parti dari luar.
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mempertahankan rakan partinya itu dan memuji keberanian Mansor memohon maaf. Baginya, tindakan itu menunjukkan jiwa besar namun persoalannya, adakah pengundi Sabah bersedia memaafkan secepat itu?
Merasai getar kemarahan rakyat Sabah, Ketua Perikatan Nasional (PN) Sabah Ronald Kiandee turut mengecam kenyataan Mansor. “Palui (bodoh). Malukan diri sendiri.” Satu kata dua yang jarang keluar secara terbuka daripada seorang pemimpin PN terhadap rakan komponen.
Kiandee yang juga calon PN di DUN Sugut, memberi isyarat jelas beliau tidak bersedia membawa beban persepsi negatif yang ditinggalkan Mansor. Bagi ramai pengundi, ketegasan itu mungkin dianggap suara hati mereka.
PAS pula kini sedang dalam misi meraih kerusi pertama di Sabah, dengan beberapa pihak melihat peluang parti itu cerah di DUN Karambunai. Tetapi dalam politik Sabah, sentimen adalah raja dan sentimen boleh berubah hanya dengan satu kata-kata.
Sementara itu, parti lain juga mula menyusun naratif masing-masing. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan misinya meneruskan Sabah Maju Jaya 2.0 manakala Warisan pula menampilkan slogan ‘Selamatkan Sabah’.
Barisan Nasional (BN) pula ‘Bikin Balik Sabah’ dan PN pula memilih ‘Kasi Bagus Sabah’. Upko yang membawa diri dari PH melaungkan ‘Sabah First’.
Namun, satu perkara yang pasti: tempoh berkempen sehingga tengah malam 28 Nov nanti dijangka terus menyajikan warna-warni politik Sabah penuh drama, penuh emosi dan penuh debaran.
Akhirnya, segala yang berlaku sebelum hari mengundi hanyalah prolog. Yang menentukan naskhah sebenar PRN Sabah tetap tangan-tangan pengundi yang akan menggenggam masa depan negeri di kertas undi.
Penulis adalah wartawan kanan FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.