
Dalam era digital serba pantas, pemikiran dan persepsi masyarakat terutama golongan muda semakin banyak dipengaruhi oleh apa mereka lihat, baca dan terima melalui pelbagai saluran media khususnya media sosial.
Oleh itu, golongan ini yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara amat terdedah kepada maklumat tidak tepat dan palsu sekali gus berpotensi memesongkan pemahaman mereka terhadap isu penting negara. Ini berlaku apabila maklumat disampaikan secara tidak berstruktur atau tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan golongan muda membentuk persepsi negatif terhadap usaha dan dasar negara.
Mereka mula melihat segala tindakan kerajaan sebagai tidak bermanfaat malah lebih berat menganggapnya sebagai salah. Persepsi yang tidak tepat ini mendorong mereka bertindak secara emosional bukan lagi rasional.
Misalnya, baru-baru ini heboh berkaitan isu pemasangan bendera Malaysia secara terbalik oleh segelintir individu yang kononnya mahu menunjukkan protes tetapi akhirnya mencetuskan kemarahan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Apa yang diperhatikan, tindakan ini berpunca daripada salah faham terhadap isu semasa dan kurangnya penjelasan rasmi yang cepat dan berkesan.
Bukan itu saja, lihat pula kes kematian tragis Zara Qairina Mahathir yang mengundang pelbagai spekulasi, tuduhan liar malah fitnah di media sosial sebelum siasatan rasmi selesai dijalankan. Ramai yang bertindak berdasarkan emosi dan maklumat tidak sahih sehingga menimbulkan huru-hara dan perbalahan terbuka.
Kelemahan komunikasi dan peranan pihak bertanggungjawab
Kelemahan dalam pengurusan komunikasi khususnya ketika berdepan krisis menjadi punca utama kepada penularan maklumat palsu ini. Apabila komunikasi gagal diurus dengan baik ia bukan sahaja menjejaskan kepercayaan masyarakat malah boleh meretakkan perpaduan nasional. Lihat saja krisis air di Selangor pada 2022 yang pada awalnya tidak dijelaskan dengan telus menyebabkan rakyat panik dan menyebarkan pelbagai teori konspirasi.
Ketiadaan saluran komunikasi rasmi yang pantas dan mudah difahami menyebabkan kekeliruan berpanjangan. Imbau juga isu suntikan vaksin Covid-19 yang mana kelewatan menjawab keraguan masyarakat menyebabkan teori antivaksin berkembang pesat di media sosial terutama dalam kalangan golongan muda yang terpengaruh dengan kandungan tular.
Penurunan minat membaca dan rasionaliti masyarakat
Selain itu, sikap masyarakat yang hanya membaca tajuk berita tanpa memahami isi kandungan turut menyumbang kepada penurunan tahap rasionaliti. Ini menjadikan mereka mudah dipengaruhi dan membentuk pendapat berdasarkan maklumat separuh masak.
Bayangkan tajuk berita seperti ‘Kerajaan gagal urus ekonomi’ sering dikongsi tanpa membaca laporan penuh yang menjelaskan konteks sebenar seperti faktor global, dasar fiskal atau statistik sokongan. Akibatnya, persepsi negatif terbentuk secara tidak adil.
Keperluan pengurusan krisis komunikasi berkesan
Maka, pengurusan krisis komunikasi perlu dijadikan agenda penting negara. Kegagalan dalam aspek ini akan terus membenarkan penyebaran berita palsu dan membentuk pemikiran yang rosak khususnya dalam kalangan generasi muda. Kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam komunikasi dan perhubungan awam harus memainkan peranan aktif.
Perlu ada pemerkasaan mekanisme dan peraturan yang jelas dalam mengawal selia kandungan media sosial dan portal berita yang banyak menyiarkan berita kisah peribadi, berunsurkan lucah, tahyul, hiburan melampau dan tidak bermanfaat.
Berita sedemikian akan terus tersebar sekali gus tanpa disedari membentuk pemikiran serta persepsi yang tidak rasional. Ini perlu dikawal agar tidak menjadi alat kepada ‘agenda pembodohan minda’ masyarakat atas nama ‘content’ dan juga meraih perhatian masyarakat.
Peranan SPRM dalam mendidik dan menyebar maklumat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Komunikasi Strategik dan Bahagian Pendidikan Masyarakat terus berusaha menyampaikan maklumat yang tepat dan membina kepada masyarakat.
Pendekatan inovatif seperti penggunaan kecerdasan pintar (AI) serta pelaksanaan program seperti Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (Komawar), Komuniti Integriti dan Antirasuah Rakyat (Kiar) serta Wira AntiRasuah (WAR) adalah antara inisiatif dijalankan.
Program Kiar dijalankan di sekolah dan universiti berjaya meningkatkan kesedaran pelajar terhadap isu rasuah melalui pendekatan interaktif seperti simulasi kes rasuah dan forum bersama tokoh integriti. Selain itu, penggunaan AI dalam kempen digital SPRM seperti ‘chatbot’ interaktif dan video pendek di TikTok berjaya menarik minat golongan muda untuk memahami isu integriti dan pencegahan rasuah dengan cara lebih santai dan mudah diakses.
SPRM juga merancang mendapatkan pensijilan ISO dalam pengurusan krisis komunikasi sebagai langkah memperkukuh strategi komunikasi mereka. Semua usaha ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 dengan matlamat mencapai kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.
Hisyam Mohd Yusoff adalah pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.