
Pada 11 Okt 2024 Malaysia secara rasmi menerima tanggungjawab sebagai pengerusi Asean bagi tahun 2025. Delegasi negara diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Sidang Kemuncak Asean ke-44 dan 45 di Vientiane, Laos. Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan pengerusi Asean pada 1977, 1997, 2005 dan 2015 menjadikan 2025 kali kelima. Kali ini, kepengerusian itu membawa makna lebih besar kerana 2025 juga menandakan ulang tahun ke-10 penubuhan komuniti Asean. Kurang lima bulan tempoh kepengerusian Asean–Malaysia bakal berakhir dan digantikan negara lain.
Malaysia hadir dengan tema besar dan sarat nilai: ‘Keterangkuman dan Kelestarian’. Ia merupakan cerminan kepada realiti baharu dunia dan rantau — di mana cabaran global seperti perubahan iklim, teknologi disruptif, ketidaksamaan ekonomi dan tekanan geopolitik menuntut respons bersama, bukan bersifat nasional sahaja.
Namun, satu persoalan strategik perlu dibangkitkan: Adakah tempoh 12 bulan cukup untuk melaksanakan tema sebesar ini dan membina impak berkekalan dalam kalangan negara anggota dan rakyat Asean?
Keterangkuman dan Kelestarian: Tema tepat, masa terhad
Tema Malaysia 2025 menekankan dua perkara utama:
i. Keterangkuman (Inclusivity): Menjamin semua negara anggota Asean mendapat tempat dalam kerjasama strategik tanpa mengira saiz ekonomi atau kekuatan politik. Ia juga mengangkat suara rakyat, termasuk belia, wanita, warga luar bandar dan komuniti terpinggir;
ii. Kelestarian (Sustainability): Menyeru agar pembangunan ekonomi serantau tidak berlaku dengan mengorbankan alam sekitar atau kesejahteraan sosial. Prinsip ini seiring Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Apa yang menjadikan tema ini unik ialah keupayaan Malaysia mengaitkannya dengan nilai Malaysia Madani, iaitu keadilan, ihsan, hormat, kasih sayang, kesederhanaan dan kebebasan. Maka, Asean tidak hanya dirancang sebagai kerjasama politik dan ekonomi, tetapi sebagai ruang perkongsian nilai dan visi manusiawi.
Namun, pelaksanaan dasar dan inisiatif ke arah keterangkuman dan kelestarian memerlukan masa. Banyak negara anggota memerlukan perubahan struktur dalaman, pelaksanaan dasar silang kementerian, dan sokongan masyarakat Madani. Semua ini mustahil dilaksanakan dengan mendalam dalam masa setahun sahaja.
Tambahan pula, negara anggota lebih kecil seperti Laos, Myanmar dan Kemboja menghadapi cabaran tersendiri dari segi kapasiti institusi, infrastruktur dasar, dan sumber manusia. Jika keterangkuman benar-benar mahu dicapai, maka ia memerlukan jangka masa pelaksanaan lebih panjang dan pemantauan berkala yang tidak dapat dilakukan dalam setahun kepengerusian sahaja.
Masalah struktur tahunan: Banyak mesyuarat, kurang impak
Dalam sistem semasa, kepengerusian Asean berlangsung selama setahun mengikut penggiliran tetap. Dalam tempoh itu, negara pengerusi perlu:
- Menyusun lebih 340 mesyuarat rasmi dan tidak rasmi;
- Menganjurkan sidang kemuncak, forum serantau Asean dan pelbagai dialog berkaitan;
- Menyediakan dokumen dasar, laporan bersama dan kenyataan pemimpin;
- Merancang dan melancarkan program akar umbi dan kerjasama serantau.
Namun, berdasarkan pengalaman lalu separuh pertama tahun biasanya diisi dengan penyelarasan birokrasi, pembentukan jawatankuasa kerja dan pelantikan pegawai. Separuh kedua pula padat dengan acara dan sidang media.
Akhirnya, masa untuk pelaksanaan, pemantauan dan pembetulan dasar hampir tiada. Banyak program dilancarkan tetapi tidak sempat berkembang, atau tidak diteruskan oleh negara pengerusi seterusnya. Inilah realiti ‘memulakan tanpa mengukuhkan’ yang perlu dikritik secara konstruktif.
Struktur 2 tahun: Ruang untuk kematangan dasar
Kepengerusian selama dua tahun bukan soal melebarkan kuasa negara pengerusi, tetapi satu keperluan praktikal untuk memastikan dasar yang dilancar benar-benar diterjemah dalam bentuk impak. Antara manfaatnya ialah:
- Pelaksanaan fasa berganda: Tahun pertama untuk pelancaran dan pelaksanaan, tahun kedua untuk pemantauan, pengukuhan dan penilaian keberkesanan.
- Kesinambungan inisiatif: Dasar tidak terhenti secara mendadak. Ia berpeluang menjadi sebahagian daripada agenda tetap Asean.
- Kebolehsuaian kerjasama rentas sektor: Melibatkan NGO, universiti, komuniti perniagaan dan institusi akar umbi — semua ini perlu masa untuk benar-benar terlibat.
Struktur dua tahun juga membolehkan pengerusi memainkan peranan lebih aktif dalam mewakili Asean di pentas global — dari dialog EU-Asean, sidang Apec, COP iklim, hingga ke rundingan Indo-Pasifik.
Lebih penting lagi, pelaksanaan dasar seperti keterangkuman dan kelestarian memerlukan penglibatan sektor belia, pendidikan dan masyarakat sivil yang bukan bersifat jangka pendek. Program latihan serantau, pertukaran kepimpinan muda, kolaborasi universiti dan projek komuniti bersama hanya akan berjaya jika diberi masa mencukupi untuk dirancang, dilaksanakan dan dikembangkan ke seluruh rantau.
Belajar dari rantau lain dan diri sendiri
Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika, misalnya, memberikan mandat lebih panjang kepada presidensi dan mempunyai institusi tetap yang kuat. Dalam Asean, walaupun terdapat sekretariat tetap di Jakarta, kuasa pengerusi tetap dominan dalam menetapkan nada dan keutamaan tahunan.
Negara Asean seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand menunjukkan komitmen dasar luar yang mantap. Jika diberi dua tahun, mereka boleh menyalurkan kekuatan itu dalam membina program berkekalan seperti keselamatan maritim, pendidikan serantau, dan ekonomi hijau.
Malaysia sendiri mempunyai kelebihan dalam jaringan dasar seperti Miti, Wisma Putra, MDEC, dan inisiatif belia seperti YSEALI serta komuniti Malaysia Madani. Semua ini lebih bermakna jika diberi masa dua tahun untuk membina momentum dan legasi.
Ulang Tahun Komuniti Asean ke-10: Masa paling sesuai untuk reformasi
Tahun 2025 menandakan satu dekad penubuhan komuniti Asean — inisiatif yang mahu membawa Asean lebih rapat dalam tiga teras: politik-keselamatan, ekonomi, dan sosiobudaya. Sepuluh tahun kemudian, sudah tiba masa untuk Asean membuat penilaian semula.
Asean tidak lagi boleh bergantung pada simbolik dan mesyuarat. Ia perlu menjadikan struktur dan masa sebagai komponen strategi. Struktur dua tahun boleh dimulakan sebagai ‘projek perintis’ oleh Malaysia, dengan pemantauan prestasi dan laporan impak kepada negara anggota lain.
Ia juga memberi peluang untuk negara pengerusi bukan sahaja menyelaras aktiviti besar, tetapi benar-benar menyemai nilai seperti kepercayaan, kebertanggungjawaban bersama, dan perpaduan dasar — sesuatu yang sering tercicir dalam kitaran mesyuarat yang terlalu pantas.
Legasi perlu masa, bukan sekadar giliran
Logo rasmi kepengerusian Asean Malaysia 2025 yang menggabungkan bunga raya dan warna Asean adalah simbolik kepada penyatuan dan jati diri rantau. Namun, seperti bunga, dasar juga perlukan masa untuk tumbuh dan berkembang.
Jika Asean benar-benar mahu menjadi satu komuniti tindakan, bukan hanya komuniti kenyataan, maka ia perlu berani menyesuaikan struktur. Pemanjangan kepengerusian kepada dua tahun bukan satu pilihan radikal, tetapi langkah rasional ke arah masa depan yang lebih mampan.
Tambahan pula, dalam konteks semasa, Malaysia telah menunjukkan ketegasan dalam menyuarakan isu kemanusiaan sejagat, khususnya kezaliman berterusan rejim Israel terhadap rakyat Palestin. Kelantangan Malaysia sebagai pengerusi Asean 2025 memberi harapan kepada banyak pihak bahawa Asean boleh memainkan peranan moral dan politik yang lebih berprinsip di peringkat global. Namun, suara ini boleh terbantut jika tempoh kepengerusian tamat sebelum sempat dasar bersama dibentuk atau kenyataan kolektif Asean digembleng secara tuntas.
Sebagai langkah awal yang realistik, pelaksanaan struktur kepengerusian dua tahun boleh dimulakan secara bergilir dalam kalangan lima negara pengasas Asean — iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand — yang menandatangani Deklarasi Bangkok pada 8 Ogos 1967. Sebagai tonggak penubuhan dan peneraju awal integrasi rantau, negara ini berada pada kedudukan terbaik untuk memulakan fasa percubaan reformasi ini, sebelum dikembangkan ke seluruh anggota.
Inilah saat paling sesuai untuk mengangkat Malaysia bukan hanya sebagai pengerusi bertema, tetapi sebagai pelopor reformasi yang berani dan realistik dalam landskap Asean. Masa bukan hanya giliran — ia adalah peluang membina masa depan bersama.
Reformasi Asean, ini kalilah!
Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.