Kenapa sekarang? Memahami keperluan mendesak di sebalik peluasan SST

Kenapa sekarang? Memahami keperluan mendesak di sebalik peluasan SST

Kerajaan melihat keperluan mendesak untuk perkukuh kewangan negara dan memastikan hala tuju stabil dalam menghadapi realiti ekonomi semakin berubah.

shopping hypermarket

Ketika negara menghampiri tarikh pelaksanaan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 Julai, persoalan utama bermain di fikiran kebanyakan kita adalah mengapa pelarasan fiskal ini dilakukan sekarang?

Keputusan kerajaan melakukan perubahan ketika ini bertitik tolak keperluan mendesak untuk memperkukuh kedudukan kewangan negara dan memastikan hala tuju yang stabil dalam menghadapi realiti ekonomi semakin berubah.

Langkah ini yang pada asalnya digariskan dalam Belanjawan 2025 pada 18 Okt tahun lalu, hadir pada waktu kritikal bagi kewangan awam Malaysia.

Ketika ini, negara beroperasi dengan asas percukaian antara terendah di rantau ini, dengan nisbah cukai kepada KDNK hanya 11.7%. Sebagai perbandingan, purata di rantau Asia Pasifik adalah 19.3%.

Ini bermakna hasil ekonomi Malaysia yang diterjemahkan kepada pendapatan kerajaan adalah jauh lebih kecil berbanding negara serantau lain. Meluaskan asas percukaian kini menjadi keperluan penting untuk menangani cabaran struktur yang sudah lama wujud dan memastikan kemampanan fiskal Malaysia.

Namun, keperluan meningkatkan hasil kerajaan bukan sekadar untuk mengimbangi bajet — ia adalah satu keperluan amat mendesak.

Meningkatkan hasil amat penting untuk membiayai perkhidmatan awam yang kritikal, termasuk penjagaan kesihatan dan pendidikan, serta meneruskan program bantuan tunai langsung seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang menyediakan sokongan penting kepada lebih 5.4 juta isi rumah.

Kementerian Kewangan menjangkakan penambahbaikan SST akan menjana tambahan hasil sebanyak RM5 bilion bagi separuh kedua tahun 2025, sekali gus nmenyumbang kepada unjuran tahunan sekitar RM10 bilion.

Selain itu, peluasan ini adalah komponen utama dalam usaha penyatuan fiskal berterusan Malaysia. Hasil tambahan ini amat penting untuk membantu negara mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 3.8% daripada KDNK bagi 2025, dengan unjuran pengurangan kepada 3.0% menjelang 2026, di tengah-tengah ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan geopolitik.

Tindakan segera membolehkan kerajaan menguruskan hutang secara proaktif dan memastikan ekonomi yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi masa depan semakin tidak menentu.

Walaupun mengakui kebimbangan daripada kumpulan perniagaan dan pengguna mengenai masa pelaksanaan dan kemungkinan impaknya, kerajaan menekankan peluasan SST adalah ‘pendekatan lebih progresif dan seimbang’ berbanding melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican: “Ketika GST dilaksanakan dahulu, ambang pendapatan RM500,000 digunakan secara meluas dan banyak syarikat mendaftar. Kini, ambang yang sama masih digunakan tetapi dengan pengecualian tertentu.”

Contohnya, ambang bagi syarikat pembinaan dan klinik ditetapkan pada RM1.5 juta untuk mengurangkan beban ke atas kontraktor kecil dan klinik. Oleh itu, bilangan perniagaan yang terjejas adalah lebih sedikit berbanding ketika pelaksanaan GST dahulu.

Keputusan meneruskan dengan pelaksanaan SST sekarang dan bukannya GST, mencerminkan pilihan untuk memperluas asas hasil tanpa memberi kesan tidak seimbang kepada rakyat terhadap barangan dan perkhidmatan asas, yang kebanyakannya masih dikecualikan atau berkadar sifar.

Perlu juga dinyatakan, langkah ini yang pada asalnya dijadualkan bermula 1 Mei, ditangguhkan selama dua bulan ke 1 Julai susulan rayuan daripada pengilang. Penangguhan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebimbangan industri, namun keperluan fiskal yang mendesak menuntut pelaksanaannya diteruskan sekarang.

Bagi memudahkan peralihan, tempoh pengecualian penalti hingga 31 Dis tahun ini diumumkan, memberi lebih masa kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri tanpa perlu dikenakan tindakan serta-merta.

Seperti dinyatakan Johan: “Matlamatnya adalah untuk mewujudkan sistem cukai yang adil dan progresif — di mana mereka yang mampu, menyumbang lebih.”

Dan seperti semua bentuk kemajuan, masa terbaik untuk bermula adalah sekarang.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.