
Di tengah-tengah persekitaran hutang yang semakin meningkat dan cabaran ekonomi, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk memberi rangsangan amat diperlukan kepada ekonomi Malaysia.
Beberapa inisiatif seperti penyasaran subsidi bahan api akan menjimatkan berbilion ringgit untuk kerajaan, manakala yang lain seperti memastikan tanggungjawab fiskal dan membanteras rasuah bakal meletakkan Malaysia pada landasan kewangan lebih kukuh.
Walaupun langkah itu mendapat pujian daripada institusi global seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, cabaran tetap wujud, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Seperti dinyatakan Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour, faktor luaran seperti kenaikan kadar faedah global boleh mempengaruhi kos pinjaman kerajaan.
“Ini mungkin menyebabkan pembiayaan semula hutang lebih mahal. Kos perkhidmatan hutang yang lebih tinggi boleh memberi kesan negatif terhadap kemampanan fiskal,” katanya.
Landasan tepat
Namun begitu, negara dilihat sedang bergerak di landasan tepat.
Sebagai contoh, dasar baharu yang diperkenalkan seperti langkah untuk pendedahan lebih meluas mengenai beban hutang negara telah membawa kepada peningkatan ketara dalam petunjuk makroekonomi utama.
Sebelum 2018, pendedahan seperti ini hanya terhad kepada pinjaman langsung kerajaan, seperti sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) dan instrumen hutang langsung lain.
Apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pada tahun itu, takrif pendedahan diperluaskan untuk merangkumi pembiayaan luar kunci kira-kira, seperti pinjaman yang dijamin kerajaan sekali gus memberikan gambaran lebih telus mengenai jumlah komitmen kewangan negara.
Hasilnya, semakan yang lebih teliti dan keputusan dasar lebih berpandukan maklumat.
Keputusan untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani ketidakteraturan kewangan dan memperkukuh pengurusan fiskal diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 3 Jun adalah satu lagi langkah reformasi fiskal yang menerima maklum balas positif.
Langkah strategik
Dasar kewangan semasa Malaysia memberi tumpuan kepada usaha membina semula penampan fiskal melalui strategi dua langkah.
Langkah pertama adalah ‘menaikkan siling’ melalui pertumbuhan ekonomi dan pelaburan, diikuti langkah kedua iaitu ‘menaikkan lantai’ dengan memastikan perlindungan sosial dan peningkatan kualiti hidup sambil mengekalkan kestabilan makroekonomi dan kewangan.
Pendekatan strategik ini jelas diterapkan dalam beberapa dasar utama. Misalnya, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal pada 2023 adalah langkah perundangan penting untuk memperkukuh pengurusan fiskal serta memupuk akauntabiliti dan ketelusan lebih tinggi dalam kewangan awam.
Hasilnya, paras hutang negara menunjukkan penurunan ketara.
Defisit fiskal keseluruhan menurun daripada 5.5% KDNK pada 2022 kepada 5.0% pada 2023, seterusnya bertambah baik kepada 4.1% pada 2024, mengatasi sasaran awal 4.3% ditetapkan Kementerian Kewangan.
Kemajuan ini adalah hasil langsung daripada usaha berterusan untuk mengoptimumkan perbelanjaan awam dan memperluas sumber hasil, sekali gus menunjukkan komitmen kukuh terhadap pengurusan kewangan yang berhemah.
Aspek penting dalam pelarasan semula fiskal ini adalah rasionalisasi subsidi secara bersasar. Paling ketara ialah penyasaran subsidi diesel dilaksanakan di Semenanjung pada 10 Jun 2024. Berbilion ringgit yang dijimatkan melalui pendekatan ini dijangka disalurkan semula kepada program kebajikan.
Program seperti Budi Madani menyediakan bantuan kewangan bersasar untuk mengurangkan kesan ekonomi yang mungkin menjejaskan golongan rentan.
Pengurangan pinjaman
Langkah ini juga membawa kepada pengurangan dalam pinjaman baharu kerajaan. Sebagai contoh, kerajaan hanya membuat pinjaman baharu sebanyak RM75 bilion pada 2024, berkurangan daripada RM93 bilion pada 2023 dan RM100 bilion pada 2022.
Peningkatan terkini paras hutang boleh dikaitkan dengan ‘inertia hutang’, iaitu warisan daripada pembaharuan dan penstrukturan semula tanggungan sedia ada, bukannya pinjaman baharu.
Kerajaan berharap dapat mengurangkan nisbah defisit belanjawan kepada KDNK, kepada 3% atau lebih rendah dalam tempoh 10 tahun akan datang, iaitu pengurangan secara berperingkat dalam jangka sederhana dirancang bagi memastikan pelaburan yang mencukupi dalam infrastruktur dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
Ekonomi sedang pulih
Selain daripada pengurangan hutang, terdapat juga tanda lain pemulihan ekonomi di Malaysia. Contohnya, pertumbuhan KDNK negara meningkat daripada 3.6% pada 2023 kepada 5.1% pada 2024, melebihi unjuran rasmi awal.
Sementara itu, kadar inflasi menurun daripada 2.5% pada 2023 kepada 1.8% pada 2024. IMF turut menyatakan kadar inflasi berada sekitar 2% sejak November 2023.
Pada 2024, pelaburan langsung asing (FDI) bersih diterima berjumlah RM47.4 bilion, meningkat daripada RM40.4 bilion tahun sebelumnya. Ini, bersama dengan komitmen pelaburan sebanyak RM25 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.
Secara keseluruhan, keadaan pasaran buruh kekal kukuh, dengan kadar pengangguran berada pada paras rendah sekitar 3.2% pada suku ketiga 2024. Malah, ia mencatatkan 3.1% pada Disember iaitu terendah dalam hampir sedekad.
Peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan mulai 1 Feb 2025 dan semakan terhadap Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi penjawat awam adalah langkah konkrit untuk meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan rakyat sambil memastikan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan terus mampan.
Kenaikan gaji akan meningkatkan perbelanjaan pengguna, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi.
Usaha membanteras rasuah termasuk penubuhan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) juga penting bagi menjamin integriti ekonomi jangka panjang dan keyakinan pelabur.
Pemulihan ekonomi Malaysia masih dalam proses — dipacu oleh pembaharuan, dibentuk dengan berhemah, dan diuji oleh kuasa global.
Kejayaan awal dalam pengurangan hutang, kemasukan pelaburan dan pembaharuan gaji memberikan ‘cautious optimisme’. Namun, untuk mengekalkan momentum ini memerlukan konsistensi, ketelusan, dan keazaman politik untuk terus berpegang pada hala tuju ditetapkan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.