
Saya baru terbaca satu surat terbuka kepada Dr Mahathir Mohamad yang diterbitkan oleh Free Malaysia Today pada 8 Jun lalu.
Ia ditulis oleh seorang bernama Mohamed Nasser Mohamed yang mendakwa bahawa dia membesar di zaman kepimpinan Dr Mahathir dan menggariskan beberapa peristiwa dan dasar yang dianggap olehnya sebagai detik manis dan membanggakan.
Walaupun apa yang digariskan oleh Mohamed Nasser itu cuma sekelumit dari apa yang telah Dr Mahathir lakukan untuk Negara, bangsa dan agamanya, saya merasa tidak perlulah saya mengulang apa yang telah dia tulis ataupun perlu saya tambah.
Ini kerana jelas apa yang ingin disampai oleh Mohamed Nasser bukanlah mengenai pencapaian Dr Mahathir tetapi meneruskan naratif bahawa Dr Mahathir hanya bersuara mengenai penyatuan Melayu apabila dia terpinggir dari ruang kuasa.
Selain itu, Mohamed Naser turut menyalahkan Dr Mahathir sebagai punca perpecahan dan menasihatkan Mahathir supaya berhenti berpolitik sebelum dibenci.
Amat jelas bahawa Mohamed Nasser cuma mengulangi naratif mereka yang membenci Dr Mahathir tanpa cuba memahami apa yang telah Dr Mahathir lakukan dan sedang lakukan.
Pertamanya, tuduhan bahawa Dr Mahathir hanya bersuara mengenai penyatuan Melayu apabila terpinggir.
Jika Mohamed Nasser betul-betul menghayati perjalanan politik Dr Mahathir, dia akan menyedari bahawa perjuangannya untuk bangsa Melayu dan agama Islam tidak pernah berkurang atau diketepi tatkala dia berjuang untuk membangun negara.
Semasa menjadi perdana menteri kali pertama, ketika dia sibuk membina negara, dia tetap memberi perhatian kepada proses menyedarkan orang Melayu untuk berusaha supaya tidak ketinggalan ketika bangsa lain menerima laba hasil pembangunan Negara.
Mohamed Nasser mungkin lupa atau pura-pura lupa, penekanan yang Dr Mahathir lakukan untuk membina keyakinan diri orang Melayu seperti menggalakkan orang Melayu seperti Azhar Mansor, Malek Mydin dan sebagainya untuk menggapai dunia dan membukti bahawa orang Melayu punya keupayaan, jati diri, semangat waja dan keberanian untuk menghadapi cabaran seperti juga kaum-kaum lain.
Di masa yang sama, dia menggalak orang Melayu untuk memasuki bidang perniagaan dan korporat supaya pemikiran orang Melayu yang terikat dengan kepercayaan bahawa sebagai orang Islam, pencapaian akhirat yang penting dan bukannya hal-hal duniawi.
Dr Mahathir cuba memperingat orang Melayu bahawa dia percaya bahawa kemiskinan mampu melemahkan iman. Selain itu, dia juga mahu orang Melayu sedar bahawa Islam menetapkan bahawa mereka perlu mencari kebaikan di dunia dan juga di akhirat.
Kerana itu saya kurang yakin bahawa Mohamed Nasser benar-benar mendewasa di zaman Dr Mahathir atau jika benar dia cuma membesar tetapi tidak mendewasa seperti yang didakwa olehnya.
Jika benar dia membesar di zaman Dr Mahathir, pasti dia juga pernah mendengar ungkapan Melayu Baru dan Melayu Korporat, keduanya untuk mencerminkan bahawa bangsa Melayu sudah berani tampil bersaing dengan kaum lain di dalam dunia korporat yang sebelum itu dianggap milik kaum lain.
Malangnya usaha-usaha ini dimomokkan oleh Anwar Ibrahim dan juga Zahid Hamidi setelah mereka terpinggir dari Umno.
Mereka mencedok terma kronisma dan nepotisma untuk mempertikai usaha Dr Mahathir sedangkan mereka tercatat di dalam rekod-rekod Kerajaan sebagai antara kroni terbesar dasar-dasar Kerajaan serta turut mengamalkan nepotisma.
Mohamed Nasser juga mungkin tidak sedar, akibat dari percaturan politik peribadi Anwar dan Zahid, kaum-kaum lain yang membenci kepimpinan orang Melayu, ketika itu menerusi Umno, mula menjaja naratif bahawa usaha membantu orang Melayu oleh Dr Mahathir adalah semata-mata untuk mengkayakan keluarga dan kroninya.
Kaum bukan Melayu yang bersekongkol dengan Anwar dan Zahid turut tidak berkata benar bahawa walaupun Dr Mahathir memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu, dia tidak pernah menyekat kemajuan kaum lain.
Sekali lagi amat malang kerana kaum lain yang menjadi kaya dilabel sebagai kroni Dr Mahathir dan diguna pula sebagai bukti oleh pengkritiknya sebagai bukti bahawa Dr Mahathir hanya mengkayakan kroninya yang bukan kaum Melayu.
Berkaitan Dr Mahathir punca perpecahan, saya ingin bertanya kepada Mohamed Nasser adakah dia faham apa dimaksud dengan penyatuan Melayu.
Perpecahan di antara orang Melayu yang berlainan fahaman politik adalah sesuatu yang mungkin sampai bila pun tidak akan dapat di perbetul.
Yang diperjuang Dr Mahathir kini ialah penyatuan orang Melayu untuk mempertahankan kepentingan serta kelangsungan mereka sebagai anak watan serta pemilik kepada semenanjung ini yang diperlembagakan sebagai Persekutuan Tanah Melayu.
Ianya melangkau politik kepartian dan jika orang Melayu merasa bahawa kepentingan dan kedudukan mereka itu sedang tercabar atau terhakis, maka itulah seruan penyatuan yang di suarakan oleh Dr Mahathir.
Mohamed Nasser mungkin tidak sedar bahawa buat pertama kalinya di dalam sejarah tanah air, Negara dipimpin oleh parti yang bukan berasas Melayu.
Benar, PM orang Melayu. Tetapi partinya telah dimaktubkan sebagai parti rakyat Malaysia atau berbilang kaum. Selain itu, pendokong terkuatnya juga adalah parti cauvinis China yang turut berselindung dibelakang tabir Malaysia dan pelbagai kaum.
Umno yang ada di dalam kerajaan hanyalah melukut di tepi gantang dan agenda utama yang dibawa oleh pemimpinnya ialah menyelamat dirinya dari menghadapi pertuduhan rasuah yang banyak dan jelik.
Mungkin Mohamed Nasser akan cuba menyatakan bahawa Dr Mahathir juga turut bersama mereka di dalam kerajaan tahun 2018 yang menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional.
Amatlah berbeza dan ia turut jadi bukti bahawa Dr Mahathir tidak pernah lari jauh dari perjuangan untuk bangsa dan agamanya.
Dia berjaya memastikan parti-parti bukan berasas Melayu bersetuju untuk parti Melayu, Bersatu, menjadi parti utama memimpin Pakatan Harapan ketika itu dan apabila kerajaan terbentuk, Dr Mahathir, sebagai pemimpin parti Melayu menjadi PM atau ketua kerajaan.
Tidak cukup dengan itu, dia turut menghadirkan diri di dalam Kongress Maruah Melayu pada tahun 2019 ketika dia PM dan bersama-sama dengan pemimpin dan orang Melayu yang ketika itu menjadi pembangkang.
Kehadiran beliau mendapat kritikan yang amat kuat dari pemimpin-pemimpin parti bukan Melayu yang menjadi sekutunya di dalam kerajaan namun tidak dipeduli oleh Dr Mahathir.
Perkara terakhir yang ditimbul oleh Mohamed Nasser ialah nama Dr Mahathir yang dulunya dijulang kini disebut dengan keluhan.
Oleh siapa? Mohamed Nasser dan Melayu yang berfikiran sepertinya dan kaum-kaum bukan Melayu yang membenci falsafah di mana bumi di pijak di situ langit di junjung?
Dr Mahathir tidak mencari untuk diagungkan atau dijulang. Sepanjang hidupnya Mahathir menongkah arus dan tidak pernah takut dengan herdikan dan penghinaan terutamanya apabila dia memperjuangkan apa yang dipercayainya.
Dia juga tidak pernah menyerah kepada orang lain apa-apa tanggungjawab yang perlu dipikulnya, semasa dia muda mahupun di penghujung usianya.
Baginya, berjuang dan bekerja adalah ibadah, satu fardhu kifayah yang perlu dilaksanakan ketika dia melaksanakan fardhu ainnya.
Untuk pengetahuan Mohamed Nasser, memperjuangkan Melayu di Malaysia yang pastinya beragama Islam adalah satu kewajipan yang bagi Dr Mahathir adalah untuk dilaksanakan selagi nyawa belum berpisah dengan jasad.
Jika Mohamed Nasser merasakan itu tidak perlu terserah kepadanya. Tetapi tidak perlu menasihat Dr Mahathir atau mereka yang bersama dengannya hanya kerana Mohamed Nasser tidak berupaya walaupun masih muda.
Penulis ialah bekas pengarang urusan Media Prima.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.