
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dr Mahathir Mohamad,
Saya menulis bukan atas nama mana-mana parti, institusi atau suara kolektif. Ketika menzahirkan tulisan ini, saya masih merenung gambar saya bersalaman dengan Mahathir dalam satu majlis meraikan persaraan selepas secara rasminya melepaskan jawatan perdana menteri kali pertama pada 31 Oktober 2003.
Hanya sebagai seorang rakyat biasa — yang mendewasa dalam era pemerintahan Mahathir, dan masih mengingati detik-detik penting di bawah kepimpinan Mahathir.
Kami tidak pernah lupa, Dasar Pandang ke Timur membuka mata kami tentang etika kerja bangsa Jepun dan Korea.
Pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025 yang melabuhkan tirainya pada 1 Jun lalu, kami banyak menjual buku cara mudah belajar bahasa Jepun dan Korea kepada ramai anak-anak muda dan pelajar sekolah.
Saranan Mahathir, pandang ke Timur masih lagi menjadi antara dasar yang cukup mengesankan. Buy British Last suatu waktu dahulu memberi kami semangat berdikari.
Serangan korporat ke atas Guthrie menerusi Dawn Raid di London menjadikan kita bukan lagi tanah jajahan yang tunduk, tetapi bangsa bermaruah yang tahu melawan dengan strategi.
Semua itu kepada saya secara peribadi adalah detik-detik manis dan membanggakan saya sebagai rakyat yang tinggal di bumi bertuah ini – Malaysia. Sebagai perdana menteri keempat, Mahathir bukan sekadar mentadbir tetapi mencorak wajah negara.
Mahathir bawa Malaysia ke pentas dunia. Menara Berkembar KLCC, Putrajaya, Multimedia Super Corridor, Dasar Penswastaan, Proton — semua ini menjadikan Mahathir bukan sekadar perdana menteri keempat, tetapi arkitek kepada impian Malaysia moden.
Mahathir tinggalkan kesan yang tak boleh dipadam dalam sejarah negara. Dan ketika Mahathir kembali sebagai perdana menteri ketujuh, kami terpaksa akui – walau terkejut, kami sambut juga.
Kami menganggap ia pengorbanan terakhir Mahathir untuk negara. Ramai sekali yang menaruh harapan. Mahathir dilihat sebagai penyatu selepas kekecewaan panjang.
Namun harapan itu tidak lama. Mahathir kembali membawa gaya lama ke pentas baharu. Dan sejarah pun mula kabur antara jasa dan keengganan melepaskan kuasa. Selepas itu, kami tertanya-tanya – apakah benar ia pengorbanan, atau satu lagi pusingan untuk memperbaharui pengaruh?
Mahathir selalu mengulang naratif penyatuan Melayu. Tapi terus teranglah Mahathir— rakyat hari ini sudah celik. Kami sudah penat dimomokkan dengan kisah Melayu berpecah hanya kerana Mahathir tidak lagi diberi ruang dalam sistem.
‘Penyatuan’ itu kedengaran mulia, tetapi jadi alat bila ia diseru hanya semasa Mahathir tersisih. Bila bersama kuasa, jarang pula dilaungkan. Tidak perlulah berselindung lagi di sebalik sentimen bangsa yang rapuh.
Kami tidak lupa bahawa dalam banyak keadaan, perpecahan itu juga dimulakan oleh lidah yang sama — yang kononnya mahu menyatukan. Lidah yang satu ketika dahulu menyebut lawan sebagai musuh, kemudian mengangkat mereka sebagai rakan, dan akhirnya kembali menjatuhkan semua kerana tidak sehaluan.
Mahathir pernah berkata — ikut sunnah Rasulullah SAW: “Makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang.” Nasihat itu kami ingat, kerana benar dan indah.
Tetapi izinkan saya, sebagai rakyat biasa, menambah: berhentilah berpolitik sebelum dibenci. Kerana kasih rakyat, walau sedalam mana pun, boleh menjadi tawar jika diasak tanpa henti.
Nama Mahathir yang dulunya dijulang, semakin hari disebut dengan keluhan. Dan itu menyedihkan kami. Kami tidak mahu melihat Mahathir menjadi watak yang enggan turun dari pentas, walau tirai telah lama dilabuhkan.
Politik bukan legasi yang boleh diwariskan seperti syarikat keluarga. Ia harus berkembang dengan masa, berubah dengan generasi. Ada waktunya, berundur itu bukan kekalahan, tetapi kemuliaan.
Kerana yang tahu bila untuk berhenti, itulah pemimpin yang sebenar. Mahathir telah mencipta begitu banyak untuk negara ini. Tapi kini, biarlah negara ini berdiri sendiri. Biarlah suara baharu tumbuh.
Biarlah masa depan tidak selalu terikat pada nama yang sama. Saya doakan Mahathir dikurniakan kesihatan dan ketenangan. Biarlah nama Mahathir kekal disebut dalam buku sejarah dengan bangga — bukan dalam sembang warung yang sinis.
Ketika tulisan ini dimayakan, banyak sungguh hantaran sinis di media sosial yang sangat menyedihkan kami.
Tolonglah Mahathir, untuk kesekian kalinya mendengar suara nurani kami, terima kasih untuk semua yang telah dilakukan untuk negara bertuah ini.
Penulis adalah seorang rakyat biasa yang dahulu menyebut nama Dr Mahathir Mohamad dengan bangga. Kini, dengan hiba.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.