Guna MyKad laksana subsidi bersasar RON95, kata menteri

Guna MyKad laksana subsidi bersasar RON95, kata menteri

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata keberkesanan penggunaan MyKad terbukti menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Amir Hamzah Azizan
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata tahap kelayakan penerima subsidi akan ditingkatkan bagi meluaskan liputan bantuan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memutuskan penggunaan MyKad dalam pelaksanaan subsidi bersasar mengambil kira keberkesanan bantuan tunai menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Katanya, subsidi bersasar melalui MyKad lebih ‘berkesan dan inklusif’ kerana semua rakyat Malaysia memegang kad pengenalan itu.

“Kementerian Kewangan dalam proses mewujudkan sistem di mana kita dapat gunakan MyKad menguruskan rasionalisasi subsidi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Institut Akauntan Malaysia.

Amir berkata, langkah seterusnya adalah memastikan golongan memerlukan menerima tahap sokongan sewajarnya, dengan Kabinet dijangka membincangkan perkara berkenaan.

Katanya, tahap kelayakan penerimaan subsidi akan ditingkatkan bagi meluaskan liputan bantuan.

Rasionalisasi subsidi dijangka dilaksana pada separuh kedua tahun ini.

Sebelum ini, Amir dilaporkan berkata mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan melibatkan dua kadar harga, dengan kemungkinan sistem MyKad.

Hujung minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan golongan maha kaya 5% dikecualikan menerima subsidi bersasar RON95.

Mengulas penangguhan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Amir berkata kerajaan kekal terbuka menerima maklum balas daripada orang awam.

“Kita sentiasa mempertimbangkan cadangan daripada semua pemegang taruh. Bagi peluasan SST, kami akan berbincang dengan mereka dan mengambil kira maklum balas diterima,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.