
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, setiap individu wajib memaklumkan perubahan maklumat seperti nama dan alamat kediaman bagi tujuan pengemaskinian, sebagaimana tertakluk bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Katanya, sesiapa yang mendapati butiran semasanya tidak betul, maka perlu hadir ke pejabat JPN untuk memaklumkan pindaan maklumat itu.
“Misalnya, pemegang kad pengenalan yang bertukar tempat kediaman ke suatu tempat yang dia akan tinggal selama tempoh 90 hari atau lebih, wajib membuat gantian penukaran alamat pada kad pengenalan,” katanya kepada FMT.
JPN berkata, pelbagai usaha dijalankan termasuk Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dan promosi menerusi platform dalam talian bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengemas kini maklumat atau memperbaharui kad pengenalan.
“Bagaimanapun, tanggungjawab itu tetap terletak pada individu,” katanya.
Sementara itu, JPN berkata program Mekar yang menawarkan perkhidmatan gantian kad pengenalan di lapangan mencatat peningkatan 84.1% iaitu 59,009 permohonan berjaya diproses tahun lalu berbanding 29,340 pada 2023.
Katanya, walaupun data itu menunjukkan sambutan luar biasa dan semakin mendapat liputan meluas, JPN sedang dalam usaha menambah baik peralatan serta kelengkapan mudah alih berserta liputan capaian lebih stabil terutama di kawasan pedalaman yang sukar diakses.
Menurutnya, ini termasuk penggunaan kenderaan dengan spesifikasi lebih sesuai.
“Petugas Mekar perlu bersiap rapi dan membawa peralatan berisiko untuk digunakan bagi memproses permohonan dokumen pengenalan diri penduduk menggunakan pacuan empat roda atau bot.
“Selain itu, petugas juga berdepan cabaran dalam mendapatkan capaian internet untuk mengendalikan peralatan dan sistem serta komunikasi,” katanya.
Mekar diperkenalkan kerajaan pada 2023 untuk menangani isu keciciran pemilikan dokumen pengenalan diri dan ia memudahkan urusan pendaftaran kepada golongan tiada keupayaan untuk hadir ke pejabat JPN.