
Apabila direnung kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang menegaskan Asean perlu bercakap dalam satu suara apabila berdepan syarikat gergasi teknologi seperti Meta, Google, dan TikTok, ada benarnya. Kenyataan ini mencerminkan realiti dunia digital hari ini, di mana ancaman siber melangkaui sempadan fizikal dan memerlukan kerjasama serantau untuk ditangani dengan berkesan.
Asia Tenggara kini berada di persimpangan digital yang berbahaya. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rantau ini menyaksikan lonjakan kes jenayah siber yang semakin membimbangkan. Berdasarkan Global PT Security, pada 2024, Asia Tenggara mengalami dua kali ganda jumlah serangan siber berbanding tahun sebelumnya, dengan negara seperti Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura, Indonesia, dan Malaysia antara paling terjejas, menyasarkan sektor utama seperti pembuatan, institusi kerajaan, dan kewangan (Global PT Security). Dalam tempoh sama, perniagaan di Asia Tenggara berdepan purata 400 percubaan serangan ransomware setiap hari, dengan Indonesia mencatatkan jumlah insiden tertinggi, diikuti Vietnam, Filipina, dan Malaysia (SecurityBrief Asia).
Keadaan ini menjadi lebih parah apabila penjenayah siber berjaya mencuri sehingga USD37 bilion pada 2023 melalui pelbagai penipuan, termasuk percintaan, pelaburan, kecurian mata wang kripto, dan perjudian dalam talian (Bloomberg). Ancaman ini bukan sekadar serangan teknikal tetapi eksploitasi manusia secara besar-besaran. Pusat penipuan, sering dirujuk sebagai ‘kilang penipuan’ telah dikenal pasti di negara seperti Myanmar, Kemboja, dan Laos, di mana individu diperdaya dengan iklan pekerjaan palsu dan kemudian dipaksa terlibat dalam penipuan dalam talian bawah ancaman keganasan (CSIS).
Realitinya, ancaman siber bukan sahaja merosakkan ekonomi tetapi mengancam keselamatan sosial dan kedaulatan digital negara Asia Tenggara. Dengan teknologi terus berkembang, serangan siber kini menjadi lebih sukar untuk dikesan dan dihentikan, memerlukan pelaburan besar dalam teknologi keselamatan serta pendidikan awam untuk mengurangkan risiko eksploitasi.
Pada masa sama, penggunaan platform media sosial di Asia Tenggara terus berkembang pesat. Berdasarkan DataReportal, kira-kira 398 juta orang di Asia Tenggara merupakan pengguna aktif Facebook pada awal tahun 2025, mewakili kira-kira 17.4% daripada jumlah pengguna global Facebook (DataReportal). Rangkaian aplikasi Meta, termasuk Facebook, Instagram, WhatsApp, dan Messenger, secara kolektif mencapai 3.98 bilion pengguna aktif bulanan di seluruh dunia, dengan Asia Tenggara menyumbang secara signifikan kepada angka ini (Cropink).
TikTok, yang semakin popular dalam kalangan generasi muda, juga mencatatkan pertumbuhan pesat. Berdasarkan DataReportal, TikTok mempunyai kira-kira 298 juta pengguna aktif bulanan di Asia Tenggara pada awal tahun 2025, menyumbang kepada 18.7% daripada jumlah pengguna global platform tersebut (DataReportal). Malah, pengguna di negara seperti Filipina, Malaysia, dan Singapura menghabiskan lebih 40 jam sebulan menggunakan TikTok, melebihi purata global (Campaign Indonesia). Ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh platform ini dalam kehidupan seharian penduduk Asia Tenggara.
Namun, di sebalik kemajuan teknologi ini, risiko keselamatan digital semakin tinggi. Platform seperti Facebook, TikTok, dan Google bukan sahaja menjadi alat komunikasi tetapi saluran utama untuk penyebaran maklumat palsu, penipuan dalam talian, dan serangan siber. Dengan jumlah pengguna begitu besar, syarikat teknologi ini berdepan tekanan semakin meningkat untuk memperketat kawalan keselamatan dan melindungi data pengguna daripada ancaman luaran.
Menyedari ancaman semakin kompleks dalam dunia digital, Malaysia mengambil langkah proaktif untuk mengetuai usaha memperkenalkan Garis Panduan Asean mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab. Teo menekankan Asean perlu memperkukuhkan kesatuan serantau untuk berdepan syarikat gergasi teknologi seperti Meta, Google, dan TikTok.
Beliau mengingatkan, ‘sebagai satu negara, sukar untuk menangani isu ini sendiri’. Kenyataan ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk pendekatan kolektif dalam memastikan keselamatan digital lebih terjamin, memandangkan pengaruh global yang dimiliki oleh syarikat teknologi ini. Dengan langkah ini, Asean berpotensi membentuk ekosistem digital yang lebih bertanggungjawab dan selamat untuk rakyat serantau.
Jika usaha ini berjaya, Asean bukan sahaja akan mempunyai kawalan lebih baik ke atas maklumat disebarkan, tetapi juga akan mempunyai kuasa untuk menggesa syarikat media sosial menyediakan platform lebih selamat dan bertanggungjawab untuk 600 juta rakyatnya. Inilah masa depan yang kita perlu capai – dunia digital yang selamat, bertanggungjawab, dan melindungi rakyat daripada ancaman siber yang semakin canggih.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.