
Menurut laporan media pada Jun 2024, setiap hari rakyat Malaysia membuang sampah sekitar 38,000 tan sampah dan secara puratanya 1.17 kilogram sisa pepejal bagi setiap rakyat. Kira-kira satu per empat daripadanya dari Selangor.
Sampah yang tidak dilupus dengan baik akan membawa kesan yang buruk pada tanah. Pelupusan sampah pepejal di tapak pelupusan (landfill) yang sedia ada tidak menyelesaikan masalah sampah secara menyeluruh.
Sampah itu akan membuatkan bumi merana, udara tercemar dan kandungan tanah menjadi semakin beracun.
Kejadian ini dapat pada 2022 apabila satu tapak di Pulau Burung, Pulau Pinang terbakar akibat gas metana dihasilkan.
Kejadian itu telah mengakibatkan pemindahan 400 penduduk dan penutupan sementara 10 sekolah. Hampir tiga minggu diperlukan untuk memadam kebakaran yang merebak kepada 11.3 hektar daripada 33 hektar tapak landfill.
Loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) adalah teknologi yang memproses sisa buangan pepejal dan menukarnya kepada haba, stim serta tenaga elektrik.
Teknologi WTE ini berbeza dengan insinerator jenis lama di mana insinerator lama tersebut tidak memulihkan tenaga daripada sisa – satu tanggapan yang salah di kalangan orang ramai antara WTE dengan insinerator jenis lama.
Banyak negara telah beralih kepada WTE sebagai metodologi utama pengurusan sisa menggantikan landfill. Menurut satu kajian yang dijalankan, peratusan landfill sebagai metodologi pengurusan sisa di negara seperti Singapura, Sweden, Denmark, Belanda dan Jerman telah menurun kepada kurang daripada 5%.
Selain WTE, negara-negara ini menggunakan sepenuhnya kaedah recycling dan composting untuk menguruskan, bukannya mengorbankan tanah untuk landfill.
Malaysia bersama Indonesia, Thailand dan Filipina masih lagi menggunakan landfill untuk menguruskan sampah dan belum menggunakan WTE.
Secara perbandingannya, pada tahun 2000 sekitar 300 ekar tanah digunakan untuk landfill di Selangor, jumlah ini meningkat 7 kali ganda kepada 2,100 ekar tanah untuk landfill pada 2022.
Jika kaedah landfill terus digunakan bermakna sejumlah 6,000 ekar tanah diperlukan untuk landfill menjelang tahun 2050.
Luas 6,000 ekar adalah bersamaan dengan 24,282,000 meter persegi, bersamaan 24.28 km² atau setengah dari kawasan Putrajaya yang berkeluasan 49 km². Mahukah rakyat Selangor melihat bandar dan bukit sampah?
Sementara itu, Malaysia dan beberapa negara sedang membangun menjadi sasaran menjadi tempat pembuangan sisa plastik baharu selepas China berhenti mengambil sampah scrap sejak tahun 2018.
Dikenal pasti sejumlah 60 kontena disusun dengan sisa tercemar telah diseludup masuk ke kemudahan pemprosesan haram di Malaysia sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka.
Sampah itu dilanggar sejumlah 3,000 tan metrik (3,300 tan) membabitkan sisa plastik tidak boleh dikitar semula. Ia dihantar semula ke negara-negara seperti Amerika Syarikat, UK, Kanada dan Australia untuk mengelak Malaysia menjadi tempat pembuangan sampah bagi maju.
Rakyat tentunya tidak mahu situasi ini berlaku, oleh itu metodologi WTE adalah penyelesaian untuk isu sampah ini.
Indonesia telah mengumumkan pada Mac, negara itu bersedia untuk membangunkan 30 WTE di bandar-bandar utama di seluruh negara menjelang 2029.
Kaedah landfill juga melepaskan gas tCO2e. Menurut satu kajian pada tahun 1990 sejumlah 3.7 juga tan gas tCO2e dilepaskan dari tempat landfill dan ianya terus meningkat sehingga 13.9 juta tan gas tCO2e pada 2019.
Pelepasan ini bersamaan dengan pelepasan tCO2e daripada 6 juta kereta dan menyumbang kepada 4% pelepasan GHG negara. Jika dibiarkan kaedah landfill ini berterusan, pelepasan gas tCO2e boleh meningkat sehingga 26 juta tan gas tCO2e menjelang tahun 2050.
Gas tCO2e merangkumi gas karbon dioksida (CO₂), gas metana (CH₄), gas nitrous oxide (N₂O) dan gas perfluorokarbon, HFC. Gas-gas yang dilepaskan ini akan menyumbang kepada pemanasan global.
Peningkatan pencemaran udara (terutama dari pembakaran bahan api fosil) akan menyebabkan penyakit asma, penyakit jantung, paru-paru dan kanser.
Penggunaan landfill sebagai metodologi pengurusan sisa juga merosakkan tanah di mana leachate mengalir ke dalam tanah dan juga sisa tertimbus di bawah tanah.
Walaupun sisa di dalam tanah boleh dikeluarkan dan dialihkan, tanah itu telah tercemar dan menyebabkan pembaziran tanah di mana tanah sekitar tidak bersesuaian untuk pembangunan tanah dalam tempoh 100 tahun akan datang. Ini juga menyebabkan kehilangan nilai tanah untuk tempoh yang lama.
Di Selangor, sejak 2008 sudah ada kajian dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk melaksanakan projek WTE.
Kemudahan WTE dirancang di Jeram dan Rawang yang berkemampuan untuk menjana tenaga bersih dan boleh diperbaharui, selain menyelesaikan masalah gas rumah hijau yang mengakibatkan perubahan iklim.
WTE dirancang di Rawang misalnya sudah mendapat penanda aras tinggi termasuk peringkat antarabangsa. Misalnya daripada segi pengurusan partikel.
WTE berkenaan mencatat 30 mg/m3 sama dengan standard DOE dan China dan lebih baik berbanding DOE Standard. Pelepasan merkuri juga mencatat hanya 0.03 mg/m3 berbanding 0.05 bagi standard DOE.
Fakta dan kemampuan WTE dirancang di Rawang ini sudah terbukti daripada segi perbandingan standard antarbangsa, selamat untuk alam sekitar.
Malah pembinaan WTE ini juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada hampir 2,000 orang apabila beroperasi.
Kebimbangan rawak cuba ditimbulkan berkaitan dengan kawasan arang batu oleh sesetengah pihak adalah sekadar kebimbangan semata-mata.
Lihatlah bagaimana WTE dibangunkan di Colnbrook, Slough, UK jaraknya hanya 1.5 km dari Lapangan Terbang Heathrow Airport, tetapi tidak mengganggu operasinya.
Dakwaan bahawa bangunan bakal dibina di WTE Rawang merbahaya kerana bawahnya dipenuhi arang batu juga sekadar ulasan rawak sahaja. Lihat kembali bangunan tertinggi di dunia (Burj Khalifa) pun kedalamannya hanyalah 50 meter sahaja.
Menurut analisa Jabatan Alam Sekitar, kedalaman arang batu itu sejauh 300 meter ke dalam tanah, maka jika diambil kedalaman Burj Khalifa sebagai asas, hujahan itu tidak benar kerana bangunan WTE Rawang tidaklah setinggi Burj Khalifa.
Di samping itu, berdasarkan laporan EIA projek tersebut, tinjauan Electrical Resistivity Tomography (ERT) telah dijalankan pada 2023 dan 2024 untuk menganalisa keadaan geologi di tapak projek. Berdasarkan tinjauan, laporan tersebut telah menolak kewujudan terowong bekas perlombongan di lokasi yang dicadangkan.
Faktanya, WTE di Rawang ini bakal menjadi inspirasi pencetus untuk pembinaan beberapa lagi WTE di seluruh negara ke arah mengurangkan landfill dan menguruskan sampah sarap yang lebih cekap di negara ini.
Kerajaan Malaysia bercadang membangunkan 18 WTE menjelang 2040. WTE yang bakal dibina di Rawang adalah sesuai dengan tabiat orang Malaysia yang tidak suka untuk mengasingkan sampah, biarpun kempen itu sudah dimulakan sejak bertahun dahulu.
Semua orang tidak suka sampah dan bau busuk. Mahukan udara yang segar dan kualiti kehidupan yang lebih baik. WTE adalah penyelesaian sebenar untuk isu pengurusan sampah di negara ini.
Muda Muhammad adalah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.