
Spekulasi semakin hangat di kalangan pemerhati politik Sabah selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat mengumumkan kerjasama bagi menghadapi PRN akan datang.
Menurut laporan FMT, persetujuan itu dicapai Khamis lalu antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku pengerusi PH, dan rakan sejawatannya dari BN yang juga timbalan perdana menteri Zahid Hamidi.
Laporan itu menyatakan bahawa bentuk kerjasama, termasuk pembahagian kerusi dan kemungkinan rundingan dengan parti-parti lain akan dikendalikan bersama oleh pimpinan PH dan BN di Sabah, tertakluk kepada satu syarat penting:
“Segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi PH dan BN,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu telah mencetuskan pelbagai pendapat di kalangan ahli politik dan penganalisis, malah turut menjadi perbualan orang ramai di negeri itu, termasuk di media sosial.
Secara umumnya, rakyat Sabah seperti juga di Sarawak amat curiga terhadap politik gaya Semenanjung, khususnya dibawa Umno yang berteraskan kaum dan agama.
Dengan kehadiran tokoh lantang Umno seperti Dr Akmal Saleh yang sering mengungkit isu-isu itu, rakyat Sabah bimbang bahawa kerajaan negeri diterajui BN-PH akan membawa campur tangan berlebihan unsur Islam dalam kehidupan harian mereka, sekali gus mengganggu keharmonian yang sedia ada.
Begitu juga, retorik ‘Ketuanan Melayu’ oleh Umno sering kali ditolak mentah-mentah di Sabah dan tidak akan diterima di negeri di mana orang Melayu hanya mewakili sekitar 9% daripada 3.4 juta penduduknya (sumber: Jabatan Perangkaan).
Tambahan pula, reputasi Umno-BN masih tercemar dengan isu rasuah, terutamanya selepas bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah, dipenjara dan masih berdepan pendakwaan, serta pembebasan tanpa pelepasan terhadap Zahid Hamidi yang mencetuskan kontroversi.
Tidak cukup dengan itu, perbicaraan kes jenayah terhadap watak utama Umno Sabah, Bung Moktar Radin dan isterinya, bekas pelakon Zizie Izette Abdul Samad, yang kini diarahkan membela diri atas pertuduhan rasuah turut menjejaskan imej parti.
Bung figura yang mencetuskan perpecahan di negeri itu dan pernah mencetuskan kekacauan pada Januari 2023 apabila beliau cuba menggugat kedudukan Hajiji Noor dengan menarik sokongan terhadap pentadbiran yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Tindakannya telah memecahbelahkan parti dan menyaksikan beberapa Adun Umno mengingkari arahan parti demi mengekalkan kerajaan negeri.
Namun begitu, Bung, seperti Akmal juga nampaknya sukar dikekang dan sering bertindak mendahului parti demi menonjolkan kedudukan politiknya di Sabah.
Pada September tahun lalu, beliau dilaporkan berkata bahawa Umno Sabah akan mengadakan perbincangan bagi memperkemas dan mengukuhkan kerjasama dengan PH menjelang pilihan raya.
Kenyataan itu pantas dinafikan, namun Bung mengulanginya sekali lagi minggu lalu hanya untuk menyaksikan DAP Sabah segera menafikan bahawa sebarang rundingan rasmi telah bermula. Begitu juga, dakwaan BN Sabah bahawa gabungan BN-PH telah bersetuju dengan agihan kerusi 40:33 serta cadangan menjadikan Bung sebagai ‘poster boy’ turut disifatkan Zahid sebagai terlalu awal.
Pengumuman kerjasama BN-PH telah menimbulkan kegelisahan di Sabah, dengan slogan ‘Sabah For Sabahan’ kembali bergema seiring dengan desakan yang lebih kuat untuk mendapatkan lebih banyak autonomi.
Ahli politik Semenanjung wajar menyedari walaupun rakyat Sabah lebih tenang dan bersopan, mereka kini lebih bersemangat untuk menentukan haluan politik mereka sendiri seperti dilakukan Sarawak.
Dalam hal ini, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) telah mengambil langkah ke hadapan dengan meneruskan tindakan undang-undang bagi menuntut hak negeri di bawah geran khas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, ahli politik dan peguam di negeri terbabit sedang memerhati dengan teliti pertikaian antara Sarawak dan kerajaan persekutuan mengenai hak minyak dan gas. Sabah memiliki 19% daripada rizab petroleum negara yang terbukti dan boleh dibuktikan.
Namun begitu, rakyat Sabah juga mungkin terlalu cepat membuat andaian.
BN dan PH secara kolektif hanya mempunyai 20 kerusi dalam DUN Sabah yang mempunyai 73 kerusi. Ini bermakna mereka kekurangan majoriti, walaupun berjaya mempertahankan semua kerusi sedia ada. Dengan sentimen semasa, Umno Sabah mungkin sukar mempertahankan kerusi-kerusinya.
Apa pun, Anwar dan Zahid pastinya cukup bijak untuk tidak menyangka bahawa BN-PH boleh menang sendiri dan membentuk kerajaan negeri. Mereka cukup faham dengan landskap politik Sabah yang unik di mana ada sehingga 14 parti politik, majoritinya bersifat tempatan, yang mengisi DUN.
BN dan PH mesti sedar mereka perlu menjalinkan kerjasama dengan parti-parti tempatan, sama ada sebelum pilihan raya atau selepas, untuk membentuk atau menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang seterusnya. Mereka juga tahu bahawa mereka tidak boleh mengetepikan dua pemain terbesar dalam politik negeri: Parti Gagasan Rakyat Sabah (26 kerusi) dan Warisan (14).
Itulah sebabnya kenyataan PH-BN menyebut secara khusus tentang kemungkinan bekerjasama dengan parti-parti lain.
Melihat Bung sebagai penghalang dalam rundingan itu, Zahid telah mengumumkan semua keputusan BN-Umno mengenai perkara itu akan dibuat di peringkat persekutuan, di mana beliau memegang kuasa.
Anwar yang terkenal sebagai perunding handal dan Zahid sebagai pengimbang kepada Bung, rakyat Sabah sebenarnya tidak perlu terlalu bimbang seperti yang mereka sangkakan.
Ibrahim M Ahmad adalah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.