Kenapa SKMM siasat Aliff? Penjelasan mudah untuk orang ramai

Kenapa SKMM siasat Aliff? Penjelasan mudah untuk orang ramai

Kita semua ada hak bersuara. Tapi hak itu datang dengan tanggungjawab.

Ramai yang tanya kenapa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) siasat Aliff Ahmad lepas dia buat catatan di media sosial nak ‘scrut’ Nurul Izzah. Katanya itu hak rakyat nak tanya. Betul. Tapi kita kena faham, ada beza antara bertanya dengan membayangkan sesuatu yang belum tentu sah, apatah lagi bila buat secara terbuka dan beramai-ramai.

1. Isu Izzah bukan kes 3R

SKMM tak siasat Aliff bawah alasan 3R (kaum, agama, raja) untuk kes Nurul Izzah ini. Isu 3R memang ada dalam siasatan lain, tapi bukan yang ini. Jangan campur aduk.

2. Apa masalah dengan catatan itu?

Aliff buat catatan kata kalau dapat 20,000 perkongsian, dia akan dedahkan dari mana Izzah dapat duit, apa ‘business’ dia, dan lain-lain.

Benda ini boleh dianggap macam ugutan halus: “kalau ramai cukup ‘share’, aku akan buka aib dia.”

3. Bukankah ‘public figure’ patut boleh disoal?

Boleh. Tapi kalau nak soal, soal dengan adab. Kalau ada bukti, buat laporan.

Tapi kalau kau bawa ke media sosial, tanpa bukti, dengan gaya provokatif; itu dah masuk kategori gangguan atau cuba jatuhkan reputasi.

Kalau salah, biarlah agensi macam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat. Jangan ajak orang ramai kongsi catatan supaya tekanan makin tinggi. Itu bukan soal siasat, itu ‘public shaming’.

4. Kenapa SKMM pakai Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia?

Sebab undang-undang ini larang orang guna internet untuk ganggu, aib, ugut atau sebarkan benda jelik (yang menyakitkan hati). Catatan itu boleh jadi ada unsur ‘mengganggu’ atau ‘jelik’ kalau cara dia macam nak burukkan seseorang tanpa asas kukuh.

5. Tapi Aliff dah buat akuan berkanun (SD) kata dia bertanggungjawab. Tak cukup?

Tak cukup. SD cuma pengakuan, bukan bukti penuh. Pihak berkuasa kena cari bukti lain contohnya mesej, sumber maklumat dan konteks penuh.

Macam kes lain juga, tak cukup kau kata ‘aku buat’, polis tetap kena siasat sebelum dakwa.

6. Ini bukan pasal politik. Ini pasal tanggungjawab.

Kita semua ada hak bersuara. Tapi hak itu datang dengan tanggungjawab.

Kalau cara kita bersuara itu boleh jejaskan orang lain tanpa bukti, atau sekadar nak naikkan ‘engagement’, maka pihak berkuasa memang ada hak nak siasat.

SKMM tak boleh tunggu benda dah meletup baru nak bertindak.

Akhir kata,

  • Catatan berkait Izzah bukan isu 3R.
  • SKMM siasat sebab nada dan gaya catatan itu mungkin langgar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
  • SD bukan tiket lepas — siasatan tetap jalan.
  • Tanya boleh, tapi tanya elok-elok.
  • Nak tegur, tegur. Tapi jangan ‘provoke’ untuk ‘content’.
  •  Jangan salah guna kebebasan bersuara untuk burukkan orang sesuka hati.

 

Muhammad Aidil Akmal Sharidan adalah seorang peguam.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.