Annuar sedia turun ke Kampung Sungai Baru perjelas isu tanah

Annuar sedia turun ke Kampung Sungai Baru perjelas isu tanah

Bekas menteri wilayah itu turut tepis tuduhan campur tangan dalam isu pengambilan tanah di kawasan itu ketika PN memerintah.

annuar musa
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa gesa kerajaan semasa ambil tindakan jika ada ‘perkara tak baik’ berhubung isu pengambilalihan tanah secara paksa di Kampung Sungai Baru.
TAPAH:
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa bersedia turun ke Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, untuk memberikan penjelasan berhubung isu pengambilan tanah yang dikaitkan dengannya.

Beliau turut menepis tuduhan beliau campur tangan dalam isu pengambilan tanah di kawasan itu seperti didakwa segelintir pihak.

“Kalau perlu saya beri pandangan, apabila sampai masanya, saya akan beri pandangan. Malah (bekas menteri Wilayah Persekutuan) Shahidan Kassim juga ada hubungi saya untuk bincangkan perkara itu,” katanya kepada FMT.

“Saya tak ingat secara lanjut maklumat tentang isu itu kerana saya tak campur, ia (hanya) libatkan syarikat dengan pemilik tanah. Kita (Perikatan Nasional) memerintah, tubuh kerajaan hanya dua minggu (sebelum) PKP akibat Covid19, (jadi) mungkin banyak isu tak sampai kepada kita.”

Annuar menjelaskan, projek tersebut diberikan ketika Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi menteri Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan semasa mengambil tindakan jika ada ‘perkara tak baik’ dalam isu itu, sebagaimana isu tanah yang berbangkit kebelakangan itu.

“Kalau isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur di atas tanah milik Jakel perdana menteri boleh selesaikan, tolong selesaikan jugalah isu Kampung Sungai Baru,” katanya.

Terdahulu jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Annuar sepatutnya menjawab kegagalan kerajaan PN dalam isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, bukannya sibuk berkempen untuk PRK Ayer Kuning.

“Kalau tengok isu Kampung Sungai Baru, kononnya 23 Ahli Parlimen PN turun nak perjuangkan hak. Rupanya, tiga menteri (PN) terbabit (dalam isu pengambilalihan tanah secara paksa),” katanya.

“Saya rasa Annuar kena jawab banyak benda, tak payah kempen PRK. (Sebaliknya) turun ke Kampung Sungai Baru, saya nak tengok dia berani tak berdepan penduduk … saya rasa dia tak berani.”

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau percaya pihak terlibat dalam pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru pada zaman pemerintahan PN perlu memberi penjelasan kepada penduduk terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Protem Kampung Sungai Baru Zainab Alias mendakwa, beberapa bekas menteri dan Ahli Parlimen termasuk Annuar, Shahidan dan Ahli Parlimen Titiwangsa ketika itu, Rina Harun, memihak kepada pemaju.

Terbaru Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang juga bekas perdana menteri menafikan beliau terlibat dalam pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru ketika PN memerintah, sebaliknya mendakwa beliau ditohmah oleh pihak tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.