
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan beberapa siri pendedahan skandal perlombongan Sabah dalam klip video disebarkan melalui sebuah portal berita.
Dakwaan itu yang kali pertama muncul pada November, mengatakan seorang ahli perniagaan yang mendakwa ‘pemberi maklumat’ mempunyai bukti amalan rasuah konon melibatkan beberapa Adun.
Tuduhan itu kelihatan berkait rapat dengan dakwaan dibuat bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Sdn Bhd (SMM) Jontih Enggihon berhubung ketidakwajaran dalam syarikat berkenaan.
Menariknya, sejak itu SMM memfailkan saman terhadap Jontih dan ahli perniagaan yang didakwa melakukan kesalahan tertentu di pihak mereka dalam mendapatkan lesen perlombongan untuk syarikat dikait dengan ahli perniagaan itu. Jontih kemudian bertindak balas akan melakukan saman balas ke atas SMM.
Dalam pada itu, dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan perkara berkenaan, nampaknya tertumpu kepada Jontih dan ahli perniagaan tidak dikenali yang juga mendakwa sebagai pemberi maklumat.
Dalam laporan berita itu, kononnya pemberi maklumat mendakwa sejumlah wang tidak didedahkan telah dibayar kepada beberapa Adun Sabah. Bulan lalu, SPRM berkata ia telah merekod kenyataan daripada sekitar 18 Adun.
Ia bagus, namun pastinya siasatan tidak boleh terhenti setakat itu sahaja.
Dalam laporan itu, yang mana termasuk klip video, pemberi maklumat dikatakan mendakwa beliau mewakili atau dikaitkan dengan beberapa syarikat yang telah memohon lesen perlombongan daripada kerajaan Sabah. Katanya, pembayaran telah dibuat kepada beberapa Adun berhubung permohonan itu.
Adalah tidak jelas apakah kaitan atau peranan Adun dengan kelulusan untuk mendapatkan lesen perlombongan. Mengikut undang-undang Sabah, pihak berkuasa mengeluarkan lesen berkenaan bukan di bawah bidang kuasa DUN dan tidak tertakluk kepada budi bicara oleh mana-mana Adun.
Memandangkan kononnya pemberi maklumat mengakui bertindak bagi kepentingan komersial syarikat-syarikat yang beliau wakili, beberapa persoalan akan diketengahkan. Bukankah demi kepentingan umum, identiti mereka harus didedahkan?
Seterusnya, apa pula pembabitan mereka dalam skandal didakwa? Apa peranan yang dimainkan setiap mereka?
Tentu mereka sedar masing-masing syarikat sedang memohon lesen perlombongan. Adakah mereka membenarkan pembayaran dikatakan itu? Apakah mereka sedar tujuan pembayaran dibuat, yang kelihatan seperti rasuah?
Jika ya, maka beberapa syarikat dan pegawai masing-masing yang langsung terlibat dalam transaksi dikatakan itu mungkin telah melakukan kesalahan. Adakah mereka telah dipanggil SPRM untuk disoal siasat?
Seksyen 17A Akta SPRM 2009 memperuntukkan bahawa syarikat boleh menanggung ‘liabiliti korporat’ untuk perbuatan rasuah.
Berdasarkan peruntukan ini, organisasi komersial boleh didakwa dan dihukum jika membenarkan pegawai/kakitangan mereka melakukan rasuah untuk memperoleh sesuatu projek atau mendapat apa-apa faedah bagi organisasi komersial itu.
Pastinya, bayaran di bawah kaunter untuk mendapatkan lesen perlombongan berada dalam ruang lingkup bahagian tersebut.
Mengikut seksyen itu, sebuah organisasi komersial boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai suapan atau RM1 juta, yang mana lebih tinggi, atau penjara hingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Perdana menteri berulang kali berkata mahu menghapuskan rasuah dalam sektor awam dan swasta.
Justeru, SPRM sebagai badan memerangi rasuah, mesti membuat siasatan menyeluruh terhadap skandal dikatakan itu.
Mana-mana penjawat awam, syarikat swasta atau individu didapati terlibat jenayah mesti dibawa ke muka pengadilan segera.
Idris Mokhtar adalah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.