‘Menjengkelkan’ bila tol musim perayaan jadi ‘senjata’ politik, perkauman

‘Menjengkelkan’ bila tol musim perayaan jadi ‘senjata’ politik, perkauman

Pemberian insentif tol percuma pada musim perayaan seharusnya melihat kepada kantung kewangan negara.

toll traffic

Apabila Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata tiada lagi tol percuma musim perayaan bermula tahun ini dalam menjawab pertanyaan wartawan, pelbagai reaksi berkenaannya terutama dari netizen di ruang media sosial.

Sebenarnya menteri hanya menyampaikan keputusan Kabinet pada 20 Disember 2024, lima hari sebelum sambutan Krismas- perayaan terakhir tahun lalu diberikan inisiatif terbabit.

Menteri mempunyai pilihan tidak menyatakan keputusan terbabit tetapi memilih berkongsi dengan harapan rakyat bersedia dengan keputusan itu. Mentaliti rakyat Malaysia rupa-rupanya serupa, tidak kira apa jua bangsa dan kaumnya.

Mungkin bagi rakyat Malaysia amnya, apa yang diberi oleh kerajaan sama ada dalam bentuk subsidi mahupun bantuan, adalah milik mereka selama-lamanya. Haram diambil balik atau diberhentikan!

Naratif digunakan oleh Nanta adalah tepat iaitu “Tiada Lagi Tol Percuma Musim Perayaan”. Sepatutnya tol percuma sudah tiada lagi. Ia telah dilaksanakan oleh kerajaan Madani sekian kalinya selama dua tahun bermula tahun 2023.

Bukan hanya untuk Aidilfitri seperti zaman kerajaan Dr Mahathir 2.0 dan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob. Kerajaan Madani berlaku adil kepada semua perayaan utama di Semenanjung iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.

Kenyataan itu memberi gambaran mungkin ada atau tiada lagi bantuan tol. Namanya pun bantuan. Kalau kantung kerajaan sihat, adalah bantuan. Kalau tidak sihat mungkin tiada. Yang pasti kalau masih ada bantuan tol, bukan percuma lagi. Apa bentuknya? Kabinet yang akan menentukan. Diskaun atau bersasar?

Seorang pelawak ‘Standup Comedian’ didakwa menggunakan popularitinya mengungkapkan isu ini dari sudut perkauman mengatakan kerajaan batalkan tol untuk perayaan Tahun Baharu Cina. Beliau lupa kerajaan telah beri bantuan tol percuma dua pusingan untuk semua perayaan.

Lebih teruk ada parti politik dilihat mengambil kesempatan pengumuman tiada tol percuma bermula tahun ini mulai sambutan Tahun Baharu Cina dengan mengaitkannya dengan sentimen perkauman.

Banyak lagi komen netizen apabila kita merujuk kepada laman Facebook Kementerian Kerja Raya dan portal-portal berita. Lebih banyak menghentam dari cuba memahami secara rasional.

Mesyuarat Kabinet setelah kepulangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dari luar negara pada 24 Januari 2025 menampakkan sisi lain masyarakat Malaysia.

Keputusan Kabinet memberikan bantuan tol 50% untuk perayaan Tahun Baharu Cina juga mendapat pelbagai kritikan. Ini seperti peribahasa Melayu ‘Ditelan mati bapak, diluah mati emak’ atau versi inggerisnya ‘Damned you do, Damned you don’t’. Serba salah dibuatnya!

Ada seorang bekas ahli lembaga pengarah sebuah institut penyelidikan mengatakan keputusan kerajaan sebagai flip-flop dan membidas keputusan popular kerajaan menggunakan dana awam.

Beliau juga menambah langkah kerajaan itu dianggap mundur ke belakang dan terlepas peluang keemasan memulakan tahun 2025 untuk melakukan pembaharuan fiskal negara.

Terdapat komen mengatakan rakyat Sarawak dan Sabah tidak mendapat manfaat dari bantuan 50% tol yang berjumlah RM20.08 juta setiap perayaan. Pelik juga pemikiran mereka!

Mereka tidak sedar Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah yang penjangnya hampir dua kali ganda lebuh raya Semenanjung dibina tanpa ada tol. Merekalah yang sebenarnya lebih beruntung ketimbang orang Semenanjung yang terpaksa membayar tol setiap kali menggunakan lebuh raya.

Selain dari itu, keputusan kerajaan memberikan bantuan tol musim perayaan dengan kadar 50% dan tidak 100% percuma disambut baik banyak pihak. Rakyat umum biasanya
melalui beberapa voxpop yang timbul di ruang media.

Ada juga komen-komen positif dari pakar geostrategik dan ekonomi terutama dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan ketirisian dan merasionalisasikan subsidi.

Umum mengetahui 12.5% dari Belanjawan 2025 adalah untuk subsidi dan bantuan sosial kepada 85% dari keseluruhan rakyat.

Penurunan dari 100% percuma kepada 50% dilihat sebagai langkah ‘step-by-step’ kerajaan dalam mendidik rakyat untuk memahami dan bersedia.

Bantuan tol musim perayaan ini ialah bantuan ‘one-off’ dan tidak akan kekal lama. Lambat laun akan menghilang. Yang pasti mungkin diberi secara bersasar kepada yang benar-benar berhak menerimanya selari dengan usaha kerajaan mengurangkan ketirisan dan merasionalisasi subsidi.

Itulah ucapan pertama sekembalinya perdana menteri dari luar negara. Ramai yang menyambut baik saranan ini. Sekarang pun kerajaan sedang membangunkan mekanisma yang ampuh dalam menentukan kategori penerima subsidi bersasar. Bukan mudah!

Seorang pakar ekonomi mencadangkan agar bantuan tol dan subsidi bahan api seperti RON95 dan LNG diselaraskan. 50% bantuan tol semasa perayaan Tahun Baharu Cina katanya menunjukkan sikap kerajaan yang responsif terhadap maklum balas orang ramai.

Dengan ekonomi negara yang semakin stabil, kerajaan mengembalikan penjimatan dari rasionalisasi subsidi seperti diesel dan ayam kepada rakyat. Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dinaikkan dari RM1,200 kepada RM2,100 setahun.

Untuk tahun 2025 kerajaan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sara iaitu dari RM10 bilion kepada RM13 bilion. Peningkatan ini memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau bersamaan 60% penduduk dewasa negara.

Kita yakin kerajaan akan meneruskan bantuan tol 50% untuk tiga lagi perayaan utama bagi tahun 2025. Kerajaan dijangka menanggung sekitar RM80 juta untuk menyediakan inisiatif terbabit.

Apakah bantuan tol musim perayaan akan diteruskan pada tahun 2026 dan tahun PRU16 2027? Bersedialah! Masa akan menentukan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.